fbpx
Gambar hiasan.

SPM: Kerja atau sambung belajar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kerja atau sambung belajar? Itu yang perlu diputuskan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini.

Setiap pilihan yang dibuat sudah pasti mengambil kira faktor seperti kos sara hidup dan pendapatan yang akan mempengaruhi masa depan.

Ramai juga berpandangan bahawa majikan kini lebih memilih pengalaman dan tidak salah dikatakan ‘berjimat’ dengan kos pengambilan pekerja.

Sekiranya mereka memilih untuk tidak sambung belajar, keputusan itu pastinya mempengaruhi dan memperlahankan sasaran melahirkan 35 peratus tenaga mahir menjelang 2030.

Bagi pakar psikologi, Dr. Meriam Omar Din, perkara paling penting adalah fokus terhadap apa yang kita mahu dalam kehidupan ini kerana tiada formula tetap atau spesifik dalam menentukan pilihan tersebut.

Menurutnya, seseorang itu harus mengenali personaliti sendiri dengan tujuan hidupnya adalah bagi mengembangkan potensi diri seluas-luasnya.

“Kalau memilih untuk sambung belajar, pastikan belajar bersungguh-sungguh dengan memperoleh keputusan cemerlang. Ini kerana terdapat perbezaan jumlah bagi orang yang mohon kerja dengan pekerjaan ditawarkan di pasaran.

“Begitu juga lepasan SPM yang memilih kerja, mereka perlu rajin dan cekal. Ini bagi membantu mereka mencapai sesuatu dan membuktikan pilihan mereka tidak salah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau memberitahu, memang tidak dinafikan status ekonomi biasanya banyak mempengaruhi kepada pemilihan pilihan yang akan dibuat dan kita perlu bertindak realistik mengikut situasi kehidupan masing-masing.

Justeru, ujar Meriam, lepasan SPM juga boleh menjadikan bekerja sambil belajar sebagai pilihan ketiga.

“Lagipun, ketika ini terdapat pembelajaran separuh masa. Apa yang penting mereka mahu belajar dan tetap menggenggam diploma atau ijazah dalam hidup,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, paling dibimbangkan adalah sikap terlalu memilih kerja dengan bersandarkan kepada status sosial agar dipandang tinggi atau mudahnya mempunyai kaitan kemewahan.

Ini berbeza apabila secara realitinya, pada hari ini tidak semua bernasib baik untuk memiliki kerjaya diidamkan atau sesuai dengan jurusan di institut pengajian tinggi sebelum ini.

“Kadangkala orang yang menjadi ‘pomen’ itu lebih berjaya meskipun dianggap kerja leceh dan selalu bermandi minyak.

“Mereka juga mampu menjadi usahawan yang membuka peluang kerja untuk orang lain. Apa sahaja jenis kerja yang halal asalkan kita tidak malu dan berusaha keras untuk berjaya dengan cemerlangnya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Meriam menegaskan, golongan muda perlu bijak dalam aspek belanjawan dan tidak terdorong dengan emosi serta kehendak melebihi kemampuan mereka.

“Berhemah dan berjimat cermat itu penting selain menjaga silaturahim tanpa mengira status bagi membina jaringan lebih besar. Apa sahaja pilihan terutama lepasan SPM adalah pastikan sesuai dengan keperibadian dan kebolehan mereka,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN