fbpx
Gambar hiasan

RM400,000 kos besarkan seorang anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Ibu bapa perlu membelanjakan sehingga RM400,000 secara puratanya untuk membesarkan seorang anak sejak dilahirkan sehingga mencapai usia 18 tahun terutama mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.

Pakar motivasi dan kaunseling rumah tangga, Hushim Salleh berkata, kos itu antaranya meliputi penyediaan tempat tinggal, pendidikan, kesihatan, pakaian dan makan minum yang menjadi  keperluan asas dalam hidup.

Menurutnya, lebih menambahkan bebanan kewangan apabila mahu memenuhi semua segmen keperluan hidup anak yang me­ningkat remaja seperti menyediakan telefon bimbit, komputer riba, rangkaian internet dan pelbagai barangan lain.

“Kos membesarkan anak sememangnya meningkat saban tahun. Secara purata, ibu bapa perlu membelanjakan antara RM300,000 hingga RM400,000 untuk membesarkan seorang anak sampai mereka usia 18 tahun,” katanya kepada Kosmo!.

Hushim memberitahu, kos untuk membesarkan anak dari awal usia melonjak lebih 50 peratus dalam tempoh 10 tahun ini dan sebahagian besarnya didorong peningkatan kos sara hidup terutama mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.

Katanya, ketika ini bukan sahaja harga barangan tinggi, malah yuran menga­suh, yuran tadika swasta, kelas tuisyen dan kelas me­ngaji pun mahal.

“Kalau 10 tahun dahulu gaji RM1,000 sebulan pun cukup untuk tampung kehidupan suami isteri dan seorang anak, tetapi sekarang seorang anak perlukan perbelanjaan sekitar RM1,800 sebulan.

“Kos pendidikan dan rawatan perubatan antara yang tertinggi diperlukan bagi memastikan ke­sihatan serta tumbesaran anak-anak terjaga baik,” ujarnya.

Jelas beliau, kos penjagaan bagi anak-anak yang memasuki alam remaja adalah lebih tinggi berbanding menjaga mereka ketika bayi dan kanak-kanak.

“Secara purata, RM100,000 diperlukan untuk besarkan anak dari lahir hingga 7 tahun, kemudian RM100,000 lagi bagi menampung keperluan dari umur 8 tahun hingga 12 tahun.

“Kos paling tinggi adalah sewaktu membesarkan anak-anak yang meningkat remaja dari umur 13 tahun hingga 18 tahun kerana demand (keperluan) mereka sudah berbeza daripada alam bayi dan kanak-kanak,” katanya.

Bercerita lanjut, Hushim berkata, melihat kepada kos sara hidup yang masih tinggi ketika ini, menyebabkan kos penjagaan seorang anak boleh menelan belanja lebih separuh daripada gaji purata ibu bapa.

“Mereka yang tinggal di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Melaka dan beberapa bandar besar lain, kos kehidupan serta besarkan anak adalah lebih tinggi.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan mereka yang berada di kawasan luar bandar juga bergelut dengan peningkatan kos untuk membesarkan anak.

“Mereka terpaksa keluarkan kos yang tinggi untuk ke hospital, pasar raya atau pekan yang terletak jauh dari tempat tinggal,” ujarnya.

Katanya, kos membesarkan anak bagi pasangan yang kedua-dua mereka bekerja lebih tinggi berbanding salah seorang daripada mereka yang bekerja.

“Perbezaan dalam 10 hingga 20 peratus juga, sebab pasangan yang bekerja perlu hantar anak ke pusat asuhan dan pusat transit,” jelasnya.

Baru-baru ini, akhbar Metro UK melaporkan, kos untuk membesarkan anak melonjak sejak sedekad lalu, menyebabkan ibu bapa di Britain bergelut untuk memenuhi semua segmen keperluan hidup mereka.

Kajian yang dijalankan firma pakar pelaburan, Moneyfarm mendapati, ibu bapa perlu membelanjakan lebih £220,000 (RM1.3 juta) untuk membesarkan seorang anak di Britain sehingga mencapai usia dewasa 18 tahun.

Anggaran itu mengambil kira perbelanjaan sebanyak £23,500 (RM140,000) setahun untuk membesarkan anak yang ­lebih kecil.

Ia melibatkan kos purata kira-kira £15,000 (RM90,000) setahun untuk kanak-kanak berusia bawah 2 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN