PONTIAN – Sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini hambar buat beberapa penternak selepas mendakwa jualan lembu tempatan untuk ibadah korban tahun ini kurang mendapat sambutan.
Seorang penternak, Mohd Zainuri Suradi, 61, berkata, permintaan yang turun mendadak sehingga mencecah 60 peratus menimbulkan keresahan.
“Penurunan ini sebagai petanda bahawa permintaan terhadap lembu korban tidak serancak tahun-tahun sebelumnya mungkin disebabkan faktor ekonomi dan sebagainya.
“Biasanya saya telah menerima tempahan lembu korban 20 hingga 30 ekor, tetapi kini sekitar 10 ekor sahaja, namun masih membuka tempahan untuk yang ingin melaksanakan ibadah korban,” katanya ketika ditemui di Benut, di sini baru-baru ini.
Katanya, dia menjual seekor lembu dengan harga RM5,000 hingga RM9,000, namun permintaan lebih banyak pada harga RM5,500 hingga RM6,000 terutama bagi mereka yang menganjurkan program ibadah korban berkelompok.
Seorang lagi penternak, Mohd. Aliffi Abu Khairi, 34, mengakui tempahan lembu bagi ibadah korban tahun ini agak perlahan berbanding tahun-tahun sebelumnya yang boleh mencecah 70 ekor lembu.
“Mungkin disebabkan faktor ekonomi, individu atau penganjur ibadah korban lebih memilih lembu mengikut kemampuan kewangan di bawah RM6,500 seekor berdasarkan harga RM900 untuk satu bahagian.
“‘Sejuk’ tempahan yang diterima tahun ini, di mana kami biasanya sibuk dengan persiapan bagi melaksanakan ibadah korban sama ada oleh individu atau berkelompok seperti dari masjid, surau, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya,” katanya.
Katanya, dia berharap agar tempahan akan kembali bertambah menjelang dua minggu terakhir sebelum Aidiladha ini,” katanya.
Di Alor Setar, seorang penternak, Md. Din Abdullah, 45, terpaksa menawarkan harga jualan yang lebih murah daripada harga pasaran berikutan tempahan untuk ibadah korban semakin merosot sejak dua tahun lalu.
Dia yang mengusahakan ternakan lembu secara kecil-kecilan itu berkata, harga lembu yang ditawarkan ialah sekitar RM3,500 hingga RM5,000 seekor berbanding harga pasaran RM4,500 hingga RM5,200 seekor mengikut saiz.
“Saya memperuntukkan sebanyak 17 ekor lembu sahaja untuk jualan bagi ibadah korban tahun ini dan setakat ini sebanyak 15 ekor sudah ditempah.
“Permintaan memang merosot sangat sejak dua tahun lalu mungkin kerana ramai yang tidak berkemampuan untuk melakukan ibadah korban.
“Nak habiskan 17 ekor lembu itu pun susah, saya terpaksa tawar harga dengan kadar untung paling minimum asalkan lembu saya dapat dijual,” katanya.
Dia mendakwa, orang ramai kini lebih memilih untuk membeli lembu yang dibawa masuk dari Thailand secara terus di pusat kuarantin lembu kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah daripada harga pasaran.
“Saya difahamkan harga lembu yang ditawarkan di pusat kuarantin adalah sekitar RM3,500 hingga RM3,800 sahaja.
“Jadi sudah pasti ramai yang memilih untuk membeli secara terus di sana berbanding membeli dengan penternak kecil seperti kami ini,” tambahnya.















