fbpx
Berani tinggalkan kerja kerajaan semasa berjawatan Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) demi bisnes, kini Narqes boleh berbangga apabila pusat rawatan wajah (medispa) Narqes Skintelligent memiliki 23 cawangan di seluruh Malaysia dan dua di Bangladesh.

Empayar cantik si pemilik nama unik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEKAD meninggalkan kerjaya yang sudah mekar dan stabil dari segi ekonomi sebagai penjawat awam bidang farmasi bukanlah satu pengakhiran sesal buat wanita ini.

Diberi sepotong nama ringkas yang unik dan jarang sekali didengari, Datin Narqes Mohd. Raimi mengakui langsung tiada sesalan yang berbekas tatkala keputusan besar dalam hidup dilakukan sekitar tujuh tahun lalu.

Berkesempatan menemu bual usahawan wanita berusia 42 tahun ini di salah sebuah outlet atau pusat rawatan wajah Narqes Skintelligent miliknya di Cheras, Narqes nyata memiliki keperibadian dan karisma tersendiri.

Berkongsi perjalanan hidupnya bersama Aura, Narqes memberitahu usai tamat pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Taiping, Perak, dia menyambung pengajian dalam bidang farmasi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak.

Tamat pengajian, dia memulakan khidmat bersama Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai pegawai farmasi.

“Pejam celik, pejam celik macam-macam pengalaman saya lalui dan timba sepanjang berkhidmat sebagai pegawai farmasi.

“Mungkin sudah dinamakan rezeki, saya kemudian dinaikkan pangkat kepada Penilai Unit Ubat Baharu dan terakhir menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah Kanan,” katanya.

Ujarnya, setelah sedekad bekerja, pada 2017, Narqes membuat keputusan meninggalkan kerjaya kerajaan untuk memberi tumpuan kepada bisnes.

Katanya, titik tolak ceburi bisnes adalah kerana dia menginginkan kebebasan dalam waktu bekerja.

“Ketika kerja dengan kerajaan, ada limitation (keterhadan) untuk melakukan semua benda dalam satu masa dan kita terikat. Satu lagi, apabila kita berniaga, kita boleh dapat lebih dan semuanya dikendalikan sendiri tanpa perlu dikawal atau ada keterikatan.

“Meskipun ramai kata tindakan saya ini ‘kurang bijak’ lebih-lebih lagi sudah dapat jawatan tetap dan stabil, tapi saya mahu cabar diri sendiri dan tahu rezeki Allah itu luas,” tuturnya yang berhenti dengan notis 24 jam.

Narqes di samping suami yang banyak membantu dalam bisnes.

Justeru, berbekalkan minat terhadap rawatan kecantikan selain ilmu sebagai pegawai farmasi, dia beranikan diri membuka sebuah pusat medispa sendiri dengan namanya sendiri bermula 2017.

Biarpun beralih ke bisnes, Narqes masih boleh memanfaatkan dan mengembangkan ilmu bidang farmasi apabila bisnes yang diceburi ialah medispa atau rawatan kecantikan wajah berasaskan perubatan.

Narqes berpeluang meneroka kemahirannya untuk membentuk kaedah rawatan atau membangunkan produk-produk yang dapat membantu mengatasi masalah kulit.

Pun begitu katanya, dia sebenarnya sudah menceburi bisnes setahun sebelum menamatkan kerjaya sebagai penjawat awam lagi yang diusahakan bersama empat lagi rakan bisnes.

“Ketika itu, kami sudah ada beberapa outlet medispa. Setiap rakan niaga turut dibahagikan mengikut outlet, zon dan kawasan masing-masing mengikut modal sendiri namun servis yang sama.

“Jadi, salah seorang rakan bisnes kami berlaku khianat dalam urusan kewangan dan bertindak mendiamkan diri hingga kes terpaksa dibawa ke mahkamah. Bertitik tolak dari situ, saya terpaksa keluar daripada jenama tersebut dan lakukan rebranding (penjenamaan semula) dan menukar nama kepada Narqes Skintelligent.

“Saya terpaksa mulakan dari bawah semula dan hampir ratusan ribu terpaksa dikeluarkan,” katanya.

Narqes bersyukur walaupun fasa awal perniagaan diuji dengan rintangan besar, namun tidak melunturkan semangatnya untuk berjaya.

Kini, selepas tujuh tahun, Narqes mampu berbangga kerana sudah mempunyai 23 buah outlet (bukan francais) di seluruh Malaysia.

Pasukan Narqes berhimpun dalam satu program bina semangat berkumpulan.

Narqes Skintelligent membantu menyelesaikan masalah kulit wajah menggunakan teknologi gred perubatan dari Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun dan Sepanyol.

Katanya, dia juga bersyukur kerana perniagaannya turut dibantu suami, Datuk Mohd. Radziq Jalaludin yang sanggup melepaskan jawatan sebagai peguam dan membantu menguruskan operasi perniagaan.

“Alhamdulillah sehingga kini Narqes sudah ada di kebanyakan negeri utama dan ada juga dua outlet lain di Bangladesh. Di Bangladesh, kami turut mempunyai seorang rakan niaga Narqes yang sudah lama kami percayai dan merupakan kawan suami ketika mereka sama-sama belajar di universiti.

“Selain medispa, alhamdulillah kami juga ada beberapa cabang perniagaan lain termasuk pusat penjagaan kesihatan dan ibu berpantang di Alam Damai, Cheras (Narqes Wellness & Confinement Center), sebuah kilang pengilang peralatan asal (OEM) kosmetik sendiri bertaraf amalan perkilangan baik (GMP) di Sunway, Subang (Qesiq Lab), sebuah kilang produk makanan kesihatan di Sunway, Subang (Navanos Biotech), sebuah kilang kabinet di Ampang, Concept Cabinet serta sebuah Compounding Pharmacy di Denai Alam, Selangor iaitu Zich Pharmacy,” katanya.

Menutup bicara, anak kelahiran Negeri Sembilan ini merancang untuk melebarluaskan empayar perniagaannya menerusi pembukaan outlet lain dalam jangka masa panjang, selain menambah barisan produk serta perkhidmatan di bawahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN