PETALING JAYA – Langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin dijangka mampu menyelesaikan isu penyalahgunaan bahan api itu yang telah berlarutan selama lebih 15 tahun.
Pakar ekonomi, Prof. Barjoyai Bardai berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi itu wajar untuk mengawal aktiviti penyelewengan yang semakin berleluasa apabila terdapat sindiket menjual bahan api bersubsidi itu pada harga lebih dua kali ganda bagi mengaut keuntungan.
“Ternyata langkah ini tepat dilakukan ketika ini setelah subsidi yang diberi kerajaan untuk penggunaan 80.6 bilion tan diesel setahun sebelum ini, mampu meraih penjimatan sehingga RM4 bilion setahun.
“Namun, pemantauan terhadap penyelewengan subsidi perlu diperketatkan.
“Ini kerana, pelaksanaan ini hanya dilakukan di Semenanjung dan tidak dibuat di Sabah dan Sarawak. Kebimbangan apabila penyelewengan diesel akan tertumpu di dua negeri itu nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Terdahulu, Anwar menerusi Perutusan Negara kelmarin mengumumkan Kabinet bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel melibatkan pengguna di Semenanjung yang dianggarkan membawa penjimatan RM4 bilion setiap tahun kepada kerajaan.
Dalam pada itu, jelas Barjoyai, penjimatan RM4 bilion yang diperoleh kerajaan terhadap penyasaran ini dapat diguna dan diagihkan kepada golongan sasar yang lain bagi merancakkan lagi kitaran ekonomi kepada negara.














