Lagu berjudul Hind’s Hall dinyanyikan penyanyi rap kelahiran Washington, Amerika Syarikat (AS), Macklemore menjadi lagu protes bertema pro-Palestin yang paling tular dan terhangat kala ini.
Barang kali ramai yang tertanya-tanya apakah dimaksudkan dengan Hind’s Hall dalam lagu itu, memandangkan lagu tersebut tidak cukup menjelaskan asal usul dua perkataan itu.
Tajuk lagu itu yang ditulis sebagai simbol solidariti Macklemore bersama para pelajar Universiti Columbia, New York, AS yang memprotes kekejaman berterusan Israel terhadap rakyat Palestin diambil bersempena nama sebuah bangunan dewan di universiti itu yang dikenali sebagai Hamilton Hall.
Baru-baru ini bangunan dewan itu telah dinamakan semula oleh pelajar Universiti Columbia sebagai Hind’s Hall bersempena nama seorang kanak-kanak Gaza berumur enam tahun, Hind Rajab yang terbunuh selepas terperangkap bersama sejumlah mayat ahli keluarganya di dalam sebuah kereta yang terbakar akibat ditembak tentera Israel.
Lebih menyayat hati kanak-kanak itu kemudian ditemui mati bersama dua anggota paramedik yang cuba membantunya. Sungguh kejam! Cerita itu berbekas di hati ramai.
Lagu Hind’s Hall tercetus dan mula dimainkan kira-kira seminggu selepas sekumpulan pelajar pro-Palestin Universiti Columbia melakukan tunjuk perasaan dengan berkhemah di Hamilton Hall. Ratusan penunjuk perasaan mengambil alih bangunan itu pada 30 April lalu menghalang pintu masuk dan menggantung sepanduk Free Palestine dari tingkap ketika pihak pengurusan universiti memberi amaran bahawa mereka akan berkemungkinan akan diusir kerana berbuat demikian.

Penentangan mereka jugalah yang telah mencetuskan kebangkitan mahasiswa-mahasiswa di universiti lain di AS dan Eropah.
Penunjuk perasaan Columbia menegaskan mereka akan kekal berada di dewan sehingga universiti bersetuju dengan tiga tuntutan mereka iaitu pelepasan daripada Israel dan syarikat yang menyokong perang di Gaza, ketelusan kewangan dan pengampunan untuk penunjuk perasaan.
Kumpulan pelajar, termasuk Columbia Student Apartheid Divest dan Columbia Students for Justice in Palestine berkata, mereka mahu kekal berada di situ sehingga pihak universiti bersetuju terhadap tuntutan mereka agar universiti itu membebaskan diri daripada syarikat yang mendapat keuntungan daripada kekejaman Israel di Gaza.
Seorang wanita yang merupakan ahli Columbia Student Apartheid Divest memberitahu saluran berita NBC News bahawa kesemua penunjuk perasaan telah mengambil kira risiko tindakan itu terhadap keselamatan, kerjaya dan juga pengajian mereka.
“Kami sanggup mengambil risiko kecil ini jika dibandingkan dengan apa yang dilalui penduduk Gaza setiap hari,” kata wanita yang enggan mendedahkan identitinya.
Sementara itu, kongsi dua pelajar AS yang merancang kempen itu bahawa mereka akan terus berjuang walaupun pihak universiti memberi amaran akan menangguhkan pengajian mereka atau menyahaktif ID mereka.
“Jangankan menangguhkan pengajian, sekalipun kami dimasukkan ke dalam penjara, kami akan kembali ke sini,” katanya sambil dipersetujui seorang lagi.
Ada apa dengan Hamilton Hall? Berita tentang pelajar-pelajar berjaya ‘menakluki’ dewan Hamilton Hall sebenarnya mempunyai signifikan yang besar kerana ia berkait sejarah lampau.

Hamilton Hall dibina pada tahun 1907 sebagai bangunan flagship universiti dan pejabat dekan dengan di hadapannya terdapat patung atau tugu Alexander Hamilton yang merupakan Setiausaha Perbendaharaan pertama AS pada tahun 1789 serta pengasas sistem perbankan AS. Pemimpin ini juga dikenali sebagai seorang penentang penghambaan.
“Apabila sebuah kerajaan itu mengkhianati rakyatnya dengan mengumpulkan terlampau banyak kuasa dan menjadi kejam, rakyat tidak ada pilihan melainkan melaksanakan hak original mereka untuk mempertahankan diri yakni menentang kerajaan,” itu kata-kata yang pernah diungkapkan Hamilton.
‘Semangat’ yang dibawa Hamilton ini mula dibawa oleh pelajar universiti berkenaan bermula pada tahun 1968 apabila menyaksikan para pelajar berhimpun sehingga ratusan mereka ditahan setelah melakukan tunjuk perasaan menentang Perang Vietnam.
Mereka dianggap sejarawan memainkan peranan utama sehingga perang dapat ditamatkan.
Kemudian, pada 1985 pula, aktivis siswa mengunci serta merantai Hamilton Hall selepas menuntut pihak universiti untuk menghentikan sebarang urus niaga dengan Afrika Selatan sebagai menunjukkan penentangan terhadap rejim apartheid. Pada masa itu, universiti mempunyai urus niaga yang banyak dengan firma-firma yang membuat bisnes di Afrika Selatan.
Nelson Mandela ketika mengenang peristiwa itu mengucapkan terima kasih kepada para pelajar.
Pada tahun 1992 pula, para pelajar melakukan protes pada bangunan itu untuk menghentikan rancangan Columbia untuk merobohkan Teater dan Ballroom Audubon yang menjadi tempat pembunuhan tokoh kulit hitam penting dalam perjuangan rakyat, Malcolm X.
Malcolm X dibunuh pada 21 Februari 1965 ketika menyampaikan ucapan di Audubon Ballroom yang kemudiannya menjadi mercu tanda utama warga Hispanik New York dan Afrika-Amerika.
Berdasarkan peristiwa-peristiwa itu, para pelajar percaya bahawa tindakan mereka selama ini memperlihatkan bahawa mereka adalah wira kerana berada dalam perjuangan yang benar dan terbukti apabila kisah-kisah itu kemudiannya tetap menjadi kebanggaan universiti.
Maka, dalam protes menyuarakan sokongan kepada Palestin kali ini, para pelajar telah berhimpun dengan keyakinan bahawa pelajar sentiasa berada di pihak yang benar dalam sejarah.
Protes kali ini menyebabkan 700 pelajar universiti itu ditangkap polis dengan sekurang-kurangnya 148 cedera, menurut media pelajar.

Seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Han di TikTok menjelaskan mengapa tindakan para pelajar Columbia ini dilihat sebagai suatu yang ‘mempanikkan’ universiti dan AS.
“Pelajar-pelajar Universiti Columbia ini bukan anak orang kelas biasa-biasa, mereka adalah anak-anak ahli Kongres atau eksekutif bisnes AS. Mereka dilihat sebagai orang-orang yang bakal menjadi pemimpin ‘penindas’ masa depan AS.
“Tetapi kini, mereka menggunakan senjata kekayaan dan keistimewaan mereka untuk menentang sistem yang telah memberikan keistimewaan itu kepada mereka. Apa yang pasti, sejarah membuktikan, perjuangan pelajar-pelajar universiti ini ‘tidak pernah dikalahkan’,” katanya.
Seminggu selepas tunjuk perasaan itu, ibu Hind Rajab, Wissam Hamadah yang ditemu bual Al Jazeera menyatakan rasa terharu selepas mendapat tahu Hamilton Hall dinamakan sempena nama anaknya.
“Saya menangis kerana sejujurnya saya mahukan gerakan dan sokongan sebegini dibuat kala Hind masih hidup, bukan selepas dia sudah meninggal dunia. Begitu pun, saya tetap gembira kerana ada kemungkinan gerakan ini menggerakkan orang-orang lain di dunia.
“Mesej saya kepada dunia adalah bangunlah, kerana Hind bukan satu-satunya (mangsa kekejaman Israel). Lebih 15,000 daripada mereka yang syahid adalah kanak-kanak, mengapa mereka yang seperti Hind masih perlu melalui semua ini?” ujarnya.














