KERJASAMA masyarakat dan organisasi bukan kerajaan (NGO) merupakan antara langkah proaktif dalam memelihara alam semula jadi terutama ekosistem marin.
Dalam era alam sekitar semakin terancam ini, pendedahan terhadap tanggungjawab bersama menjaga ekosistem marin kepada masyarakat adalah penting. Perkara tersebut juga telah diusahakan di Taman Tun Mustapha (TMP) di Sabah.
Ia telah menjadi model untuk amalan mampan serta menggambarkan kesan mendalam inisiatif pemuliharaan yang didorong oleh komuniti.
Menurut perkongsian daripada Tabung Hidupan Liar (WWF) Malaysia, kerjasama itu adalah bukti tentang simfoni harmoni antara alam semula jadi dan masyarakat yang menjadikan pantai sebagai rumah mereka.
“Merentasi keluasan hampir 900,000 hektar serta 50 pulau di utara Sabah, impak kawasan perlindungan TMP melindungi ekosistem marin berjaya menunjukkan hasil menerusi penglibatan lebih 100 orang.
“Mereka ini terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pertubuhan berasaskan komuniti, NGO dan pengusaha pelancongan.
“Kira-kira 2,152 meter persegi kawasan terumbu yang terdegradasi telah dihidupkan semula dengan 1,600 unit rangka karang, memulihkan 22,000 serpihan karang daripada lebih 30 spesies,” katanya menerusi satu perkongsian baru-baru ini.

Tambahnya, antara usaha yang dilakukan oleh komuniti tempatan adalah mengurangkan sebanyak 50 peratus aktiviti pemburuan sarang penyu di Pulau Tigabu yang diterajui oleh komuniti masyarakat Kekal Asli Tigabu.
“Mereka juga memantau dan menguruskan tempat penetasan penyu untuk meningkatkan kadar kemandirian anak-anak penyu.
“Hasil usaha konsisten mereka, pantai itu kini menjadi saksi kepada kelangsungan hidup anak penyu dan kebangkitan semula kehidupan yang dicetuskan oleh komitmen tidak berbelah bahagi,” kongsinya.
Dalam usaha pemuliharaan marin, ahli komuniti telah menjadi penjaga laut, sekali gus merapatkan jurang antara tradisi dan pemuliharaan.
Salah seorang warga tempatan dan penjaga laut yang mahu dikenali sebagai Mohd. Yusof berkata, penglibatan nelayan tempatan menjadikan usaha penjagaan TMP yang juga merupakan perairan nenek moyang mereka dapat dilakukan dengan lebih mudah.
“Pelan pengurusan TMP bukan sekadar birokrasi, malah ia adalah naratif bersama untuk menjaga, memelihara serta memastikan keindahan TMP dapat dikongsi sehingga ke anak cucu.
“Terdapat rasa kepuasan melakukan kerja ini.
“Selain membantu pihak berkuasa, kami juga bertindak sebagai mata dan telinga mereka kerana kami mengambil berat tentang kawasan ini,” jelasnya.
Tambahnya, TMP kini meletakkan sasarannya di pentas global melalui usaha untuk mendapatkan pengiktirafan melalui Senarai Hijau Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Melalui langkah itu, TMP bersedia untuk melaksanakan pemuliharaan lebih berkesan dan meningkatkan inisiatif dengan menyelaraskan piawaian mampan global yang boleh dipercayai.
Pengiktirafan berprestij berkenaan akan menunjukkan komitmen Sabah untuk memulihara alam semula jadi serta dedikasi negeri itu menjaga masa depan rakyatnya.
Perjalanan TMP ke arah Senarai Hijau IUCN bukan saja mencari pengiktirafan untuk taman berkenaan, bahkan kepada setiap tangan yang telah membentuk nasibnya.
















