Rekaan yang lebih moden dengan blazer rona kelabu dan kolar biru firus diterapkan kepada petugas barisan hadapan hospital.

Pakaian seragam hospital dapat sentuhan Rizman Ruzaini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KERJAYA sebagai petugas barisan hadapan dalam sektor kesihatan sememangnya datang dengan cabaran yang besar, sehingga adakalanya terpaksa melakukan kerja lebih masa demi untuk menjaga kebajikan pesakit.

Justeru, pakaian seragam yang sesuai cukup penting bagi memastikan tugas-tugas penting itu boleh dilaksanakan dalam keadaan selesa.

Hospital swasta Aurelius Healthcare baru-baru ini melancarkan pakaian seragam hospital baharunya yang merupakan hasil karya pereka duo tempatan, Rizman Ruzaini.

Majlis pelancaran busana tersebut diadakan pada 3 Mei lalu bertempat di Hotel Le Meridien, Putrajaya.

Kolaborasi unik itu menampilkan uniform yang diberi nafas baharu dengan menggabungkan reka bentuk busana yang anggun dengan gabungan ciri moden.

Sebanyak 13 set pakaian seragam untuk pelbagai jawatan berbeza diperkenalkan antaranya pakaian seragam jururawat, pakaian seragam khidmat pelanggan, pejabat hadapan dan pembantu penjagaan kesihatan.

Sentuhan pereka fesyen tempatan dalam penghasilan seragam baharu itu adalah bagi menyuntik estetika elegan bagi penggayaan pakaian seragam petugas barisan hadapan.

Fesyen kolaborasi antara Aurelius Healthcare dengan Rizman Ruzaini itu diperagakan
di Putrajaya baru-baru ini.

Kesemua rekaan itu dihasilkan dalam beberapa warna cerah yang berbeza dengan tujuan untuk memudahkan pengecaman.

Menurut Pengerusi Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah, koleksi itu bukan sekadar pakaian seragam, namun ia juga melambangkan komitmen tidak berbelah bahagi hospital terhadap prestasi cemerlang dalam semua aspek operasinya.

“Kami menyedari bahawa setiap perincian adalah penting, daripada penjagaan pesakit sehinggalah imej kakitangan kami.

“Kolaborasi dengan pereka fesyen Rizman Ruzaini ini membolehkan kami untuk melaksanakan dedikasi ini secara holistik.

“Dengan menyatukan fungsi dan gaya, kami percaya pakaian seragam ini bukan hanya dapat menyemarakkan semangat pasukan, tetapi juga mampu memupuk suasana lebih positif dalam kalangan pesakit dan kakitangan,” ujarnya.

Selain selesa digayakan sepanjang syif, rekaan pakaian yang dihasilkan mengutamakan ciri moden, namun kemas.

Seragam atau scrub staf jururawat (jururawat pembedahan) didatangkan dalam rona biru kehijauan, dengan kemasan kolar berwarna putih. Ia bersifat uniseks dan boleh digayakan oleh petugas lelaki dan juga wanita.

Bagi seragam petugas front office pula, blazer dan seluar formal dalam rona kelabu menjadi pilihan dengan kemasan kolar berwarna biru firus.

Tali leher rona sama pula dipadankan dengan busana itu untuk gaya senada.

Busana jururawat Aurelius Healthcare pula menampilkan rekaan baju berlengan panjang untuk petugas wanita dan lengan pendek untuk petugas lelaki.

Poket pada bahagian baju disertakan dengan kemasan jalur putih untuk gaya moden dan chic, tanpa mengetepikan fungsi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN