fbpx
SETAHUN menjanda, si tinggi lampai Alicia Amin sedang bahagia. Di dadanya kembang sepotong nama jejaka yang ingin dikenali hati budinya.

Tak nak gopoh, relaks saja – Alicia Amin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANPA berselindung, pemilik nama lengkap Raja Alicia Raja Amin jujur mengesahkan di hatinya kembang cinta terhadap seorang jejaka.

Biar sedang diulit bahagia, wanita yang mesra disapa Alicia enggan terlalu mencanang romansa dengan lelaki terbabit yang menurutnya, masih berada dalam fasa mengenali baik buruk hati budi.

Tidak mahu pisang berbuah dua kali, lulusan Universiti RMIT, Melbourne, Australia itu mahu menjalani kehidupan dengan apa seadanya tanpa terlalu tergesa-gesa membawa perhubungan ke fasa lebih serius iaitu perkahwinan.

“Saya dah ‘move on’. Dia kawan lama. Sebenarnya kami dah lama kenal. Apa yang saya boleh beritahu, rasa seronok dengan kehidupan sekarang.

“Saya dan si dia pun tenang-tenang sahaja. Sedang kenal hati budi masing-masing dengan lebih mendalam. Perlahan-lahan,” katanya pelakon berusia 29 tahun itu kepada HibGlam.

Percintaan bintang filem Salina dengan lelaki itu mula dihidu peminat apabila dia berkongsi sebuah video mesra menerusi TikTok yang mendapat respons pelbagai daripada orang ramai.

SEDANG diulit bahagia, Alicia bagaimanapun memilih untuk tidak terlalu mencanang perhubungannya yang baru terjalin bersama seorang jejaka.

‘Saya tak nak gopoh’

“Bila saya berada dengan dia, saya rasa macam masa sangat pendek. Video raya tempoh hari sempat viral di laman sosial dia.

“Doa sahaja agar perkenalan saya dengan si dia berjalan dengan baik. Tapi, saya tak nak gopoh-gopoh. Rileks sahaja sebab saya belajar daripada kesilapan lampau,” katanya lagi.

Ditebak tentang pertanyaan hubungan dengan bekas suami, Dr. Farzan Iqbal, Alicia berkata, mereka kekal berkawan walaupun sudah setahun bercerai.

“Kami masih berkawan. Macam saya cakap sebelum ini, kami mungkin lebih baik sebagai kawan sahaja.

“Dia sudah ada hidup sendiri sebagai doktor estetik dan kerjaya seni saya juga semakin berkembang dari hari ke hari.

“Tiada dendam dan tidak bermusuh. Itu cara saya berdepan dengan realiti dan lagi saya berusia, lagi matang saya mendepani apa menanti di depan,” luahnya penuh hemah.

BUKANLah bersara terus dari pentas peragaan, namun tumpuan Alicia kini terhadap lakonan. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Bersara modeling?

Berbicara tentang projek lakonan terbaharu, Alicia bakal muncul dengan filem berjudul Perisik dan beberapa projek drama yang lain.

“Watak saya dalam Perisik seorang gengster perempuan. Tanpa membocorkan terlalu banyak tentang karakter saya itu nanti, saya boleh cakap peranan saya dalam projek filem tersebut (arahan Silver Chung) ada dia punya kesulitan dalam dunia kongsi gelap.

“Selain itu, ada juga projek siri dengan Osman Ali berjudul Bara Jiwa. Itu lapan episod dan bahagian saya mungkin akan mula penggambaran dalam pertengahan Mei,” terang Alicia.

Melanjutkan perbualan, Alicia berkata, kerjaya seninya sekarang tertumpu ke arah lakonan tanpa meminggirkan cinta terhadap dunia peragaan.

“Fokus saya sekarang memang dunia lakonan. Peragaan memang ada cumanya saya sendiri memilih untuk aktif dalam lakonan.

“Modeling sebenarnya sangat memenatkan. Saya sudah nak masuk usia 30 tahun. Saya cakap pada diri, umur 30 tahun saya nak berhenti buat benda itu.

“Kalau muda mungkin seronok buat modeling. Waktu itu ada tenaga lebih sekarang dah ‘tua’ kita cuba bidang lain pula. Boleh jadi lakonan, perniagaan dan cabang kerjaya lain,” ulasnya.

ALICIA tidak melatah atau naik hantu apabila diherdik netizen susulan menyokong idea kemasukan golongan bukan Bumiputera ke UiTM.

UiTM

Beralih tentang cemuhan yang diterima susulan bersuara tentang kemasukan ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibuka kepada bukan Bumiputera, Alicia berkata, dia sudah lazim menjadi mangsa kritikan melulu orang ramai.

“Saya tahu pandangan saya tempoh hari mendapat banyak respons daripada orang ramai. Ada yang sokong dan ada juga yang membuta tuli ‘hentam’ saya.

“Peraturan hidup saya mudah. Kita sekarang sudah tahun 2024, tidak patut ada tempat untuk sebarang unsur rasisme.

“Saya juga faham bahawa UiTM adalah satu entiti yang sangat sensitif. Saya sokong program pengajian pascasiswazah terutama dalam bidang perubatan dibuka kepada bukan Bumiputera.

“Tujuannya adalah untuk mengekang masalah kekurangan doktor di Malaysia. Itu sahaja. Bukan saya nak cabar ‘kedaulatan’ UiTM,” jelasnya.

Alicia mempertahankan pendirian bapanya, Prof. Dr. Raja Amin Raja Mokhtar yang mencadangkan kemasukan ke UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera, namun hanya untuk kursus pengajian pascasiswazah.

“Bapa saya faham perlembagaan negara macam mana. Kenapa UiTM itu ditubuhkan, kenapa klausa atau peruntukan perlembagaan itu wujud untuk melindungi hak Bumiputera,” tuturnya menoktahkan bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN