PENDIDIKAN berkenaan penjagaan kebersihan diri kepada golongan yang kurang berkemampuan dan juga golongan yang sukar mendapat akses kebersihan adalah amat penting bagi memastikan kelompok tersebut juga terpelihara daripada penyakit-penyakit yang merebak akibat permukaan yang kotor.
Selepas pandemik Covid-19, kesedaran berkenaan kaedah mencuci tangan yang betul semakin dipergiat oleh pelbagai pihak bagi memastikan diri dan juga persekitaran sentiasa bebas kuman.
Sebagai usaha kebajikan selain menggalakkan kanak-kanak agar lebih tertarik untuk membasuh tangan dengan betul, sebuah badan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu Putra Bakti di Serdang, Selangor mengambil inisiatif mengelola projek Putra Bakti Hope Soap untuk diedarkan kepada golongan kurang bernasib baik terutama kalangan kanak-kanak.
Ketua Projek Putra Bakti Hope Soap, Musliyana Mansor, 47, berkata, projek tersebut adalah melibatkan penghasilan sabun yang di dalamnya diisi dengan mainan sebagai menarik minat mencuci tangan dalam kalangan kanak-kanak.
“Idea asal projek ini sebenarnya telah dimulakan di Afrika Selatan lebih 10 tahun lalu yang mana ketika itu terdapat sebuah pertubuhan kebajikan yang menghasilkan sabun berisi permainan comel yang diedarkan kepada golongan sasar.
“Ia adalah untuk menarik minat mereka mencuci tangan dengan cara yang lebih menyeronokkan memandangkan mainan itu nanti akan menjadi ganjaran buat mereka setelah menggunakannya,” katanya kepada Panorama.
Musliyana yang juga bertugas sebagai Pegawai Sains di Institut Biosains UPM menambah, UPM bagaimanapun hanya memulakan projek itu pada 2022, selepas pandemik Covid-19 dan tahun ini bakal menjadi tahun ketiga pelaksanaannya.
Putra Bakti menyasarkan untuk menghasilkan antara 400 hingga 500 buku sabun pelbagai warna dan bentuk untuk diedarkan kepada sekurang-kurangnya 10 buah organisasi bagi projek sabun mereka.
“Putra Bakti menjadi pembekal kepada mana-mana organisasi di bawah UPM yang mahu membuat edaran sabun kepada golongan yang memerlukan.

“Antara projek terdahulu termasuk edaran 30 buku sabun kepada golongan anak yatim dan asnaf di Rumah Bakti Nur Ain Bandar Baru Bangi, Selangor dan juga edaran 50 buku sabun kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai Impian, Negeri Sembilan,” kongsinya.
Ujar Musliyana, sabun yang diedarkan adalah kategori sabun asas yang menggunakan tiga bahan sahaja iaitu asas sabun (soap base) berasaskan tumbuh-tumbuhan, pewarna dan juga pewangi.
Sabun itu pula dihasilkan dengan menggunakan teknik cair dan tuang iaitu campuran asas sabun akan dicairkan sebelum dituang ke dalam acuan pelbagai bentuk.
“Kaedah pembuatan sabun-sabun ini biasanya mengambil masa selama dua hari iaitu membabitkan kerja-kerja menghasilkan sabun, mengeringkannya dan membalutnya dengan menggunakan plastik lutsinar.
“Selepas itu, kami juga akan mencetak manual amalan membasuh tangan yang akan disertakan sekali bersama setiap buku sabun sebelum dipek untuk edaran,” jelasnya.
Mereka yang terlibat dalam penghasilan sabun-sabun itu pula terdiri daripada sukarelawan UPM seperti para pelajar dan juga staf sokongan.
Berkongsi tentang sumbangan barang mainan untuk kegunaan projek itu, Musliyana berkata, ia diperoleh daripada warga UPM dan juga orang awam yang membuat penghantaran barang mainan kepada mereka.
“Kami akan membuat hebahan berkenaan projek ini menerusi media sosial dan mereka yang berminat untuk menyumbangkan barang mainan boleh terus menghubungi saya.
“Selain itu, kami di Putra Bakti ada juga menerima sumbangan barang mainan daripada penyumbang yang membeli secara pukal dan terus mengeposnya ke alamat kami.
“Ini memudahkan proses pengumpulan barang mainan yang digunakan untuk penghasilan sabun ini,” kata Musliyana.
Bercakap tentang kriteria mainan yang diperlukan untuk menghasilkan sabun, Musliyana memberitahu ia perlulah bersaiz kecil supaya mudah dimasukkan ke dalam acuan.
Katanya lagi, biarpun projek itu nampak mudah dan ringkas, ia cukup dekat di hati Musliyana memandangkannya sebuah projek yang menyeronokkan, namun tetap memberikan impak.
Selain itu, bagi Musliyana, tindakan melentur buluh itu biarlah dari rebungnya dan golongan kanak-kanak khususnya golongan luar bandar atau mereka yang sukar mendapat akses terhadap maklumat dan juga kit penjagaan diri perlu diberi perhatian sejak dari usia muda.
“Saya amat percaya kepada amalan melentur buluh biar dari rebungnya kerana didikan perkara asas kebersihan ini perlu diberitahu kepada mereka sejak usia kanak-kanak lagi.
“Ini membolehkan mereka belajar sesuatu topik seperti kebersihan, namun dalam kaedah yang fun,” katanya.
Musliyana berkata, akan datang, pihaknya berharap agar individu atau syarikat korporat boleh menyumbangkan barangan lain seperti syampu, ubat gigi dan berus gigi yang boleh ditambah dan dimasukkan sekali ke dalam kit penjagaan diri Putra Bakti.
Mereka yang berminat untuk menyumbang barang mainan atau kit pembersihan diri amat dialukan.














