fbpx
Muhammad Aidil memulakan perjalanan dari tanah air pada 19 Mac dan tiba di Madinah pada Sabtu lalu.

Tunggang kapcai 500km sehari pergi Mekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Impian seorang remaja untuk menunggang motosikal ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah akhirnya tercapai selepas dia berjaya melengkapkan kembara hampir dua bulan menerusi Projek Jelajah Silaturahim Malaysia ke Mekah 2024.

Muhammad Aidil Nursulhi, 19, yang berasal dari Pulau Sebang, Melaka itu memulakan perjalanan pada 19 Mac dan selamat tiba di Madinah pada Sabtu lalu.

Dia yang kini berada di Mekah mengakui perlu melakukan tunggangan motosikal jenis Modenas Kriss 110 sejauh 500 kilometer (km) yang memakan masa antara enam hingga tujuh jam sehari bagi melengkapkan perjalanannya ke Tanah Suci.

Katanya, antara negara yang direntasi ialah Thailand, Laos, China, Nepal, India, Pakistan, Iran, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

“Pemilihan motosikal Modenas Kriss 110 ini kerana ia jenama Malaysia, jadi lain daripada yang lain. Malah sebelum ini bapa saya pernah ke Tanah Suci pada 2013 menunggang Vespa.

“Antara cabaran termasuklah perlu melalui jalan teruk berbatu memandangkan ada negara tidak membenarkan motosikal melalui lebuh raya. Selain itu cuaca sangat sejuk kerana perlu melalui laluan berdekatan Himalaya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Muhammad Aidil berkata, dia turut disertai empat lagi peserta lain termasuk sepasang suami isteri, manakala seorang daripada mereka kemudian berpisah ketika di Madinah.

“Saya juga pernah terjatuh dari motosikal memandangkan terlalu mengantuk. Sasaran kami adalah 500km sehari dan saya tidak mahu susahkan ahli kumpulan yang lain, jadi memang kena sempurnakan jarak itu.

“Kami akan singgah berehat selama setengah jam untuk makan atau solat sebelum meneruskan perjalanan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Aidil berkata, dia bergerak ke Mekah untuk menunaikan umrah dengan menaiki kereta api dari Madinah dan dijangka pulang ke tanah air pada minggu ini atau minggu hadapan menggunakan pesawat.

“Motosikal saya ketika ini berada di Madinah dan mungkin akan dibawa pulang sama ada menggunakan kargo atau kapal bergantung kepada kos.

“Selain itu, pasangan suami isteri yang bersama kami akan berada di Tanah Suci bagi menjalani ibadah haji,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Aidil berkata, sebelum ini dia pernah mengikuti bapanya, Nursulhi Rahim, 47, menjelajah 23 negara menaiki Perodua Kelisa dalam tempoh empat bulan bermula 4 November 2019 hingga 18 Mac 2020 lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN