KETIKA mengemas bahan bacaan peninggalan mendiang bapanya, Peggy Wong terasa sayu memikirkan nasib buku-buku tersebut sekiranya dibuang begitu sahaja.
Justeru, wanita berusia 53 tahun itu memilih untuk menyumbang buku-buku berkenaan di sebuah kedai buku terpakai, Books For A Better World (BFBW) di Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor.
Alangkah terharu hati Peggy ketika mengetahui bahawa buku-buku peninggalan mendiang bapanya itu bukan sahaja akan menemui pemilik baharu, malah hasil jualannya akan disalurkan kepada badan kebajikan.
Bermula dari situ, bekas pekerja pemasaran di sebuah syarikat swasta itu mula menawarkan diri sebagai sukarelawan yang membantu operasi kedai buku terpakai tersebut.
Menurut Peggy, terdapat lebih kurang 30 sukarelawan yang antaranya terdiri daripada pesara tampil membantu perusahaan sosial yang kini memiliki sembilan cawangan di sekitar Lembah Klang.
“Kedai ini diuruskan sepenuhnya oleh sukarelawan. Kami datang ke cawangan-cawangan berbeza mengikut jadual berdasarkan masa lapang kami.
“Tugas kami adalah mengambil buku dari peti derma, kemudian meletakkan tanda harga sebelum menyusunnya di atas rak.
“Ada juga sukarelawan yang sekadar mahu membantu mengemas kedai,” katanya kepada K2 ketika ditemui di cawangan Paradigm Mall baru-baru ini.
Untuk pengetahuan, BFBW merupakan sebuah perusahaan sosial yang ditubuhkan pada 2022 oleh Adrian Ung bersama rakannya yang hanya ingin dikenali sebagai Tan.
Penubuhan tersebut bertujuan menyediakan platform kitaran buku lama yang disumbangkan oleh orang ramai kepada pihak memerlukan.
Sebahagian buku akan dijual dengan harga sekitar RM5 hingga RM100 bergantung kepada kondisi naskhah, ketebalan, jenis kulit serta keistimewaan terbitannya.

Wang hasil jualan akan digunakan untuk membantu badan-badan kebajikan seperti rumah penjagaan orang tua-tua serta persatuan haiwan.
Sementara itu, sebahagian buku yang sesuai akan diasing dan didermakan kepada pusat pembelajaran pelarian, perpustakaan komuniti, pusat tuisyen komuniti dan sekolah-sekolah terpilih.
Langkah tersebut bermatlamat mempertingkat literasi dalam kalangan pelajar-pelajar kurang berkemampuan menerusi buku-buku bacaan berkualiti.
Selain cawangan di Amcorp Mall dan Paradigm Mall, kedai buku BFBW turut dibuka di IPC, Da Men, Ampang Point, 1Mont Klara dan Cheras Leisure Mall dan kedai buku mini, Phileo Damansara.
Jelas Adrian, semua cawangan BFBW beroperasi secara layan diri.
Ini bermaksud pelanggan membuat bayaran sama ada menerusi kod QR atau memasukkan wang ke dalam kotak tunai.
“Kedai kami tidak memiliki staf yang perlu datang pada masa ditetapkan. Oleh itu, pintu kedai kami sentiasa terbuka walaupun selepas masa operasi pusat beli-belah.
“Pada mulanya, pengawal keselamatan ingatkan kami terlupa tutup kedai.
“Kini, mereka memahami bahawa kedai kami sememangnya mengamalkan konsep sedemikian,” katanya.
Setiap cawangan BFBW memiliki sasaran demografi pelanggan berbeza bagi memastikan hasil jualan optimum.
Sebagai contoh, buku sejarah dan antik akan dijual di Amcorp Mall kerana pusat beli-belah itu terkenal sebagai tempat barangan antik.
Sementara buku-buku dengan kualiti tinggi dan berunsurkan antarabangsa akan diletakkan di 1Mont Klara kerana demografi pelanggannya lebih berkelas tinggi.
Biarpun dalam kategori buku terpakai, namun terdapat banyak buku berusia sekitar 10 tahun dan masih dijual di kedai buku biasa.

Sebagai contoh, buku biografi bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama berjudul Becoming boleh didapati dengan harga RM20.
Sementara itu, hasil tinjauan penulis terhadap harga semasa buku tersebut di sebuah kedai mendapati ia dijual sekitar RM139.95.
Selain daripada kedai buku, BFBW turut menyediakan ruangan ‘pages with purpose’ di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan Paradigm Mall yang membolehkan orang ramai duduk dan baca buku.
Sekiranya ada yang berminat untuk membeli buku, mereka boleh membayarnya melalui kod QR.
Tambah lelaki berusia 54 tahun itu, terdapat pelanggan yang memberi bayaran lebih sebagai derma.
Ujarnya, ada juga yang menderma semula buku setelah habis dibaca.
“Selain kebajikan dari segi sumbangan bahan literasi dan kewangan, kami berharap dapat mempromosikan usaha kelestarian alam yang mampan.
“Dengan menyediakan platform kitaran buku daripada orang ramai kepada orang ramai, sudah pasti dapat mengurangkan pembaziran kertas,” katanya.
Bagi mencapai ekosistem kitaran buku yang sistematik, BFBW menjalankan dua jenis kerjasama bersama organisasi lain berkait pengumpulan serta pengedaran buku.
Selain sumbangan orang awam, buku-buku di BFBW turut diberikan oleh Baker Hughes, CIMB Bank, Alliance Bank dan Petronita.
Organisasi-organisasi tersebut akan menganjurkan program sumbangan buku dan hasilnya dihantar ke cawangan-cawangan BFBW.
Sumbangan buku akan meningkat pada musim perayaan kerana lazimnya pada tempoh tersebut orang ramai akan mengemas barang-barang lama untuk diganti baharu.
Setelah mendapat buku, BFBW bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Kiwanis dan Friends to Mankind bagi memastikan sumbangan buku sampai kepada badan kebajikan.
Kedua-dua organisasi tersebut juga akan berusaha menyampaikan bantuan buku ke pusat-pusat pelarian, Orang Asli dan pusat pembelajaran komuniti.
Jelas Adrian, ada ketika mereka dijemput untuk membuka booth di majlis atau festival anjuran organisasi-organisasi tertentu bagi membantu melonjakkan jualan buku.
“Saya tidak memiliki pekerja, malah sukarelawan saya ada yang terdiri daripada pesara. Mereka tidak larat nak buat semua benda sendirian.
“Jadi, cara terbaik adalah saling bekerjasama dengan organisasi-organisasi lain yang memiliki matlamat selari dengan visi BFBW,” katanya.














