fbpx
Disebabkan merajuk dengan sikap anak-anak saudara yang seperti sudah melupakannya, Ina mula mereka-reka cerita fitnah untuk membuat mereka bergaduh dan saling bermasam muka. – Gambar hiasan

Sesal laga-lagakan hubungan sesama anak saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HUBUNGAN silaturahim yang berkekalan pasti diinginkan sesiapa sahaja dalam hidup.

Tidak kiralah hubungan sesama adik- beradik, saudara-mara atau sesiapa sahaja.

Bagi seorang wanita, Ina (bukan nama sebenar), apa yang dilakukan beberapa tahun lalu kepada insan-insan tersayang dalam hidupnya menjadi suatu yang disesali.

Berkongsi kepada Panorama, Ina yang berusia 50-an memberitahu, dia mempunyai ramai anak saudara memandangkan adik-beradiknya juga seramai lapan orang.

Kata Ina, hubungannya bersama kesemua 20 anak saudara baik-baik sahaja pada awalnya hinggalah ‘situasi’ memisahkan hubungan silaturahim mereka semua.

“Saya memang ada ramai anak buah (anak saudara). Saya anak keenam daripada lapan beradik. Abang-abang dan kakak-kakak saya kebanyakannya berkahwin lebih awal.

“Hubungan saya dengan anak buah juga sangat rapat memandangkan saya hanya dikurniakan seorang sahaja anak.

“Jadi, semua anak buah saya sudah anggap seperti anak sendiri dan mereka juga manja dengan saya sejak kecil,” katanya.

Akui Ina, semakin lama anak buahnya juga semakin meningkat dewasa dan mempunyai haluan hidup masing-masing.

Katanya, sejak dari situ, hubungannya dengan anak saudara agak kurang rapat dan sedikit renggang memandangkan mereka semua hanya pulang ke kampung ketika beraya sahaja.

“Masing-masing dah meningkat dewasa. Jadi ada yang dah berkahwin, merantau ke kota dan lain-lain.

“Jadi saya ini rasa sunyi dan seperti hilang kasih sayang daripada mereka yang saya sayang.

“Kadangkala jika mereka balik kampung ke rumah ibu bapa masing-masing, tiada langsung masa terluang untuk jenguk saya dan suami berdua.

“Jadi dari situ, saya mula berkecil hati dengan sikap masing-masing. Adakala balik ke kampung langsung tidak jenguk apatah lagi bersalam, bertemu seperti dulu-dulu,” katanya.

Tambah Ina, dia mengakui ada menyimpan sifat dendam dalam diri.

Dijadikan cerita, dek kerana terlalu kecewa dengan perbuatan anak-anak saudara sendiri, dia tanpa berfikir panjang mula merencana sesuatu.

Kata Ina, pada mulanya dia sengaja mengungkit kisah lama di hadapan mereka tidak kira apa sahaja termasuk pertolongan, wang ringgit, masa dan tenaga semuanya diungkit semula satu per satu.

“Tiap kali ada antara mereka singgah ke rumah, saya akan gunakan modal (ungkit) tersebut sebagai ‘senjata’ untuk serang mereka.

“Jadi ada yang malu dan minta maaf. Memang saya lepaskan semuanya apabila mereka berjumpa dengan saya. Saya memang tidak peduli apa mereka mahu kata.

“Hati saya sakit dan jiwa saya kecewa, siapa mahu fikir. Ada mereka pernah fikir? Ada mereka pernah kenang pertolongan dan kasih sayang kami suami isteri berikan kepada mereka selama ini?” soalnya.

Tidak cukup itu, jelas Ina, dia kemudian melaga-lagakan antara anak-anak saudara menerusi cerita fitnah yang direka-reka.

Hasilnya, ada antara mereka bergaduh, bermasam muka dan tidak bertegur disebabkan mulut puakanya.

“Saya laga-lagakan mereka.

“Saya memang puas hati apabila anak saudara yang ‘kurang ajar’ dan ‘jarang jenguk’ bergaduh dengan mereka yang dianggap lebih rapat dengan saya.

“Ada juga anak saudara yang mula jauhkan diri daripada saya dek kerana dapat menghidu perbuatan keji yang saya lakukan itu.

“Tetapi saya langsung tidak peduli kerana bagi saya, saya lebih tua daripada mereka dan saya berhak ‘menegur’ mereka dengan cara itu,” katanya.

Klimaks cerita, mungkin Tuhan itu mendengar dan melihat apa yang dilakukannya, akhirnya dia mendapat balasan atas perbuatannya.

Kata Ina, tatkala Syawal beberapa tahun lalu, dia berasa pelik apabila tiada seorang pun anak saudara yang datang menjenguknya. Seakan sudah dirancang, mereka langsung tak kunjung tiba ke rumahnya sejak awal raya.

“Saya sudah rasa tidak sedap hati. Mereka semua seperti berpakat untuk membalas dendam dan ‘mengajar’ saya semula.

“Tiba-tiba satu hari mereka beramai-ramai serbu ke rumah dan masing-masing mahu kepastian angkara dan penyebab siapa mereka bergaduh dan bermasam muka selama ini.

“Semua serang saya secara bertubi-tubi. Tetapi saya tetap tidak mahu kalah. Teguran suami agar saya mengaku salah juga saya langsung tidak endahkan.

“Akhirnya mereka semua sepakat untuk tidak memaafkan perbuatan yang saya lakukan dan tinggalkan begitu sahaja saya dan suami.

“Sejak itulah kesemua mereka tidak menjenguk saya lagi sampai sekarang,” ujarnya.

Ina akui dia menyesal dengan perbuatannya tetapi ego tingginya menghalang dirinya mengalah di depan anak-anak saudaranya.

“Saya memang tidak mahu kalah apatah lagi mengaku salah di depan mereka semua. Saya kan ibu saudara dan lebih tua daripada mereka?” ulangnya lagi.

Sampai sekarang tidak mahu mengalah atas khilaf sendiri, Ina akhirnya kini hidup bersendirian bersama suami dan anaknya seolah-olah disisihkan darah daging sendiri dek kerana kelakuan kejinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN