JERANTUT – Kesempitan hidup kerana tidak lagi mampu bekerja berat disebabkan komplikasi penyakit kencing manis menyebabkan seorang lelaki terpaksa menyelongkar tong sampah sebagai sumber rezeki untuk sesuap nasi.
Ismail Ahmad, 58, yang tinggal di Bukit Kemput, Pulau Tawar di sini, berkata, dia mencari barang buangan di tong sampah yang boleh lagi digunakan seperti perkakas elektrik, perabot kecil, dapur dan pakaian yang sudah lusuh untuk dijual.
“Walaupun kerap menerima sindiran daripada pengguna jalan raya yang lalu-lalang berdekatan tong sampah, tetapi saya lakukan dengan ikhlas hanya untuk mencari sesuap nasi,” katanya.
Beliau ditemui ketika menyelongkar tong sampah di Jalan Jerantut-Maran berdekatan Kampung Bukit Rang di sini kelmarin.
Menurut Ismail, sejak akhir-akhir ini kesihatannya kerap terganggu akibat komplikasi penyakit kencing manis menyebabkan dia sering berasa lemah dan sering sakit di bahagian dada sehingga mengurangkan aktivitinya menyelongkar tong sampah.
Menceritakan kisah hidupanya, bapa kepada dua anak itu berkata, selepas berpisah dengan isterinya ketika menetap di Butterworth, Pulau Pinang 20 tahun lalu, kehidupannya bermula sebagai seorang gelandangan yang cukup memeritkan
dengan tiada siapa pun peduli tentang keadaan dirinya.
“Selepas berpisah, kehidupan saya terumbang-ambing dalam kesusahan dan terus membawa diri sehelai sepinggang dan tinggal di merata tempat di Pulau Pinang sambil mencari pekerjaan dan terakhir saya berkelana ke Kuantan, Pahang lima tahun lalu.
“Di Kuantan saya cuba mencari rezeki dengan menjual barang lama termasuk pakaian terpakai yang diperoleh dari tong sampah sekitar kawasan bandar yang masih elok dan boleh digunakan serta pakaian yang masih sempurna walaupun lusuh,” katanya.
Tambah Ismail, rezeki tidak menyebelahinya apabila barang dan pakaian terpakai yang ‘dipungut’ dari tong sampah kurang mendapat sambutan daripada pelanggan.
Justeru katanya, dia mengambil keputusan ‘membawa diri’ dan tinggal di sebuah pondok usang di Kampung Bukit Kemput, Pulau Tawar sambil bekerja menjaga kebun sawit.
“Saya diberi keperluan makanan dan sedikit upah menjaga kebun berkenaan dan dibenarkan tinggal di sebuah pondok berdekatan kebun berkenaan seberapa lama yang saya mahu.
“Sekali-sekala saya menjalankan operasi mencari barangan lusuh di dalam tong sampah.
“Kehidupan saya amat susah tanpa harta serta rumah dan saya berharap ada pihak yang dapat membantu meringankan beban yang ditanggung lebih-lebih lagi keadaan kesihatan saya mula merosot,” ujarnya.
Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi Ismail Ahmad di talian 011-4065 8382 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0600441100040266.














