INSTITUSI pendidikan memainkan peranan penting dalam membangunkan sektor kecerdasan buatan (AI) generatif bagi mengukuhkan keselamatan siber.
Penglibatan sektor pendidikan lebih menjurus kepada melahirkan lebih ramai generasi celik AI yang dapat menghasilkan pelbagai platform baharu, sekali gus mengurangkan risiko pencerobohan alam maya.
Sebagai langkah merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan permintaan industri profesional mahir dalam AI generatif, Persekutuan
Perdagangan dan Industri Wanita Antarabangsa Malaysia (IWFCIM) dan Microsoft telah melancarkan inisiatif kemahiran Ready4AI&Security.
Menurut Presiden IWFCIM, Salwana Ali, inisiatif Ready4AI&Security bertujuan menyediakan 200 pendidik dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan pengetahuan bidang AI generatif dan keselamatan siber.
“Para pendidik ini kemudian akan menyampaikan pengetahuan berkenaan kepada 5,000 pelajar TVET.
“Ini termasuk 60 peratus pelajar perempuan daripada institusi seperti Universiti Kuala Lumpur, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, politeknik serta kolej komuniti di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi.
“Saya gembira dapat memainkan peranan bagi merapatkan permintaan perniagaan dan penawaran daripada institusi pendidikan dalam menangani jurang digital kemahiran untuk masa depan.
“Langkah ini penting dalam dunia hari ini. Malah, usaha ini melibatkan 60 peratus penyertaan golongan wanita,” katanya semasa pelancaran Ready4AI&Security di pejabat IWFCIM di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, inisiatif bertemakan ‘Inspire Inclusion’ itu telah dilancarkan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024.
Kongsi Salwana, menerusi Ready4AI&Security, para pelajar TVET akan menjalani program latihan selama 32 jam secara komprehensif meliputi Pematuhan Keselamatan dan Asas Identiti Microsoft serta pembelajaran AI generatif kendiri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Microsoft Malaysia, Azizah Ali, berkata, inisiatif Ready4AI&Security adalah cerminan komitmen pihaknya supaya rakyat Malaysia dilengkapi kemahiran untuk berkembang maju dalam ekonomi didayakan AI.
“Melalui kerjasama dengan IWFCIM ini, kami berhasrat memperkasakan pelajar dengan kemahiran AI bagi memenuhi permintaan dan memastikan kebolehpasaran mereka.

– Gambar hiasan
“Malah, kami ingin menyumbang kepada ekosistem digital yang lebih selamat dan berdaya tahan melalui celik keselamatan siber.
“Dengan minat yang semakin meningkat dalam AI serta keperluan untuk keselamatan siber, inisiatif Ready4AI&Security mewakili langkah penting dalam melengkapkan generasi muda dengan pengetahuan dan kemahiran diperlukan oleh alam pekerjaan,” ujarnya.
Selain itu, dengan sasaran 60 peratus penyertaan wanita, kerjasama antara IWFCIM dan Microsoft bertujuan menyumbang kepada membina masa depan digital lebih selamat dan inklusif.
Untuk makluman, Ready4AI&Security Malaysia ialah sebahagian daripada inisiatif Keterampilan Keselamatan Siber Microsoft Philanthropy yang bertujuan menyediakan geran kepada organisasi bukan bermotifkan keuntungan bagi meningkatkan kemahiran lebih ramai individu berkaitan keselamatan siber.
“Baru-baru ini, inisiatif berkenan telah berkembang ke beberapa negara termasuk Argentina, Chile, Sepanyol, Indonesia, selain di Malaysia.
“Dengan pengembangan ini, Microsoft telah bekerjasama dengan lebih banyak organisasi bukan bermotifkan keuntungan dan institusi pendidikan di seluruh Asia Tenggara.
“Ia bagi menyediakan generasi akan datang yang pakar dalam bidang keselamatan siber profesional,” kongsinya.














