ANTARA dilema wanita berhijab adalah keperluan untuk mencari tudung yang sesuai digayakan bersama pakaian yang dipakai.
Biarpun sudah begitu banyak rekaan tudung terbaharu yang dijual di pasaran, tudung bawal daripada fabrik kapas masih antara yang menjadi pilihan wanita berhijab, khususnya untuk gaya harian.
Pertunjukan fesyen bertempat di Flora Terrace The Hampshire Place, Kuala Lumpur baru-baru ini memperagakan tudung-tudung yang cukup menarik di samping tujuan amal.
Tudung-tudung itu dikeluarkan di bawah label fesyen Doa AZ yang diasaskan baru-baru ini oleh seorang pempengaruh wanita yang sebelum ini terkenal sebagai seorang dermawan yang tidak mendedahkan identitinya di media sosial.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai AZ Pemurah itu mengadakan pertunjukan fesyen bagi mempamerkan koleksi tudung bawal yang diberi nama AZ Flover.
AZ Pemurah yang merahsiakan identitinya dengan memakai pelitup muka sehingga kini memberitahu, koleksi tersebut merupakan edisi kedua untuk koleksi tudung bawalnya.
“Kali ini, tema floral atau bunga menjadi pilihan untuk diketengahkan memandangkan ia dekat dengan hati wanita berhijab.
“Wanita berhijab pastinya mahukan koleksi tudung bercorak bunga yang menawan, mudah dibentuk dengan harga yang berpatutan,” katanya.
Sebanyak 20 rekaan diperagakan yang mana kesemuanya dihasilkan dengan fabrik kapas voile premium.
Corak yang trendy dan mengikut peredaran semasa menjadikan setiap helaian daripada koleksi itu sesuai untuk digayakan sama ada untuk ke acara santai mahupun acara formal.

Jelas AZ Pemurah, setiap helaian juga dihasilkan dengan kemasan baby seam untuk look lebih ringkas.
Nama-nama tudung bagi koleksi ini juga diambil daripada perkataan dari huruf A yang membawa maksud yang baik seperti Adeeva (kelembutan sentuhan seorang wanita), Ayesha (baik), Aminah (orang yang jujur) dan Arfa (kejayaan).
Sejajar dengan aspirasi AZ Pemurah untuk terus membantu orang yang memerlukan, 30 peratus daripada hasil jualan tudung Doa AZ akan disalurkan kepada masyarakat yang memerlukan, tanpa mengira bangsa mahupun agama.
“Saya mahu menerapkan amalan membeli sambil bersedekah apabila memilih untuk menyumbangkan hasil keuntungan jualan bagi diagihkan kepada mereka yang memerlukan di luar sana. Doa AZ berpegang kepada misi untuk membantu masyarakat menerusi inisatif kebajikan yang berkekalan,” katanya.
Ditanya mengapa memilih untuk mengeluarkan tudung sebagai produk fesyen bagi jenama AZ Pemurah, AZ Pemurah yang sememangnya meminati dunia fesyen berkata, ini kerana tudung aksesori fesyen yang kerap ditukar ganti.
“Jika dilihat, wanita berhijab sememangnya miliki banyak jenis tudung memandangkan tudung ini kerap dipakai dan akan selalu ditukar ganti.
Apabila sudah beli sehelai, kita pasti mahu beli sehelai lagi, dalam pelbagai warna dan corak berbeza.
“Selain itu, tudung juga harganya murah dan mudah untuk dibeli oleh wanita berhijab,” katanya.














