fbpx
MUHAMMAD JALANI yang terlantar bersama ahli keluargannya ketika menerima kunjungan Muhamad Nizam (berdiri kanan) di rumahnya di Apartmen Sri Ixora di Seksyen 27, Shah Alam semalam.

Pencen ilat penyambung hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kehidupan enam beranak kini berubah 360 darjah apabila terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pencen ilat ketua keluarga mereka sebagai ‘penyambung’ hidup.

Semuanya bermula selepas Muhammad Jalani Haron, 49, menderita penyakit buah pinggang tahap 5 sejak pertengahan tahun lalu hingga menyebabkan perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.

Isterinya, Norami Mohamed Salim,43, berkata, sejak itu suaminya hanya mampu terlantar sehingga terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori.

“Sekarang sumber pendapatan sebagai pemandu lori sebanyak RM2,200 sudah tiada. Suami berjaya mendapat pencen ilat sebanyak RM1,600 setelah disahkan tidak lagi mampu bekerja.

“Itu sahaja pendapatan dan penyambung hidup harian bagi menyara lima anak kami yang berusia enam hingga 18 tahun yang masih bersekolah,” katanya.

Norami ditemui selepas me­nerima kunjungan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Zon 10, Muhamad Nizam Kamjan di kediamannya di Apartmen Sri Ixora Seksyen 27, di sini baru-baru ini.

Menurut suri rumah itu, pembahagian hasil pencen ilat juga terpaksa digunakan bagi membayar ansuran pinjaman bulanan bank sebanyak RM600 bagi kediaman tersebut.

Ujarnya, separuh daripada kos dialisis perlu ditanggung oleh pihaknya dan separuh lagi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Dialisis dilakukan tiga kali seminggu.Kos dialisis satu sesi dalam RM200, kalau tambah darah RM80 dan suntikan RM30 bayar sendiri. Perkeso cuma bagi RM150 untuk setiap sesi dan selebihnya kami bayar sendiri.

“Dengan kos rawatan, bayaran hutang rumah, kos persekolahan anak dan kos barang makanan sememangnya pencen ilat suami tidak mencukupi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Norami yang sebelum ini bekerja di kantin sekolah berharap dapat membuka perniagaan secara kecil-kecilan menjual burger pada waktu malam dengan bantuan mana-mana pihak.

“Malam sahaja ada masa di­sebabkan sebelah siang perlu menguruskan suami yang turut mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN