MEMULAKAN perniagaan kek secara kecil-kecilan dari rumah selama beberapa tahun, kini seorang wanita kelahiran Kampung Gadek, Alor Gajah, Melaka mampu tersenyum lebar atas kejayaan dikecapi.
Lebih membanggakan, penat lelahnya selama ini juga berbaloi selepas berjaya membuka dan memiliki sebuah perniagaan kek yang semakin dikenali ramai.
Bertitik tolak dengan minat mendalam membuat kek, pemilik perniagaan kek dan roti, Izz Cakery, Faziliza Abu Hassan yang sebelum ini bekerja di bahagian pentadbiran sebuah kilang sanggup melepaskan jawatan pada tahun 2010 demi memberi tumpuan kepada perniagaan.
Faziliza berkata, bermodalkan sebanyak RM1,500 yang diperoleh menerusi wang bonus ketika bekerja, dia menggunakan wang tersebut untuk membeli beberapa peralatan membuat kek termasuk ketuhar bersaiz kecil.
Menurutnya, beberapa tahun kemudian, dia dipilih sebagai usahawan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan mendapat geran berjumlah RM10,000 bagi membeli kelengkapan dan peralatan niaga.
“Di awal perjalanan perniagaan, saya mengikuti kelas membuat kek di GiatMara selama enam bulan dan pernah menjadi pelajar terbaik sebelum ditawarkan untuk menyambung pengajian enam bulan lagi di tempat sama.
“Selepas tamat pengajian, saya tidak putus asa dan timba lagi ilmu kemahiran sebagai pelajar sambilan di Kolej Komuniti Kota Melaka dalam bidang yang sama agar dapat menghasilkan kek berkualiti kepada pelanggan,” katanya berkongsi kepada Aura.

Tambah anak bongsu daripada dua beradik berusia 37 tahun itu, cabaran sebagai penjual kek bukan mudah seperti yang disangka ibarat kata orang ‘bukan senang untuk senang’.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, dia tidak pernah menyesal dengan tindakannya berhenti kerja, meskipun pada awal permulaan sukar untuk mendapat pelanggan.
Namun, berkat kesabaran dan sentiasa mempromosikan perniagaan di media sosial Facebook tanpa jemu, akhirnya ramai pelanggan yang membeli kek jualannya hingga ke hari ini.
“Pernah juga kek yang telah siap dekorasi terjatuh ketika dalam perjalanan menghantar, selain peti sejuk yang menempatkan pelbagai kek tidak berfungsi menyebabkan kek yang disimpan rosak.
“Namun, semua itu saya anggap dugaan dan cabaran biasa dalam bidang ini dan mengajar saya untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya.
Tambah Faziliza, dia bersyukur suaminya, Mohd. Azahari Mohd. Yusof dan keluarga serta anak-anak sentiasa memberikan semangat serta dorongan untuknya terus berjaya.
Ditanya keunikan kek yang dijualnya berbanding pesaing lain di pasaran, dia memberitahu, keknya dikenali sebagai kek bajet dalam kalangan pelanggan.
Ujarnya, meskipun dibebani dengan kenaikan harga bahan mentah dan peralatan kek, namun Izz Cakery tetap dengan keputusan menjual kek bajet dengan harga serendah RM19 sebiji terutama jika ada promosi seperti hari perayaan.
Faziliza berkata, dia masih lagi mengekalkan harga tersebut sampai ke hari ini kerana kebanyakan pelanggannya terdiri daripada golongan B40.
Tambahnya, lokasi kedainya yang terletak di kawasan kampung juga amat tidak sesuai untuk dia menaikkan harga kek.
Mengenai perancangan masa depan, dia merancang mempelbagai variasi kek di premis miliknya selain mempunyai kafe sendiri yang dilengkapi barista dan tempat pelanggan bersantai.














