IPOH – Perjalanan akhir 10 perwira negara yang terkorban dalam nahas membabitkan dua buah helikopter semalam dilakukan dengan penuh adat istiadat rasmi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di setiap lokasi pengebumian yang dipersetujui waris masing-masing.
TLDM dalam satu kenyataan berkata, kesemua waris mangsa nahas telah dihubungi dengan pihaknya akan terus memberi sokongan, bantuan dan keperluan sebaik mungkin ketika pengurusan jenazah dilakukan.
Katanya, proses bedah siasat ke atas kesemua mangsa selesai pada pukul 2.20 petang di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Urusan membabitkan pengurusan jenazah seperti pemakaian kain kafan bagi anggota beragama Islam pula telah disempurnakan kira-kira pukul 3.30 petang.
“Lapan jenazah mangsa beragama Islam dibawa ke Surau Salahuddin Al Ayubi di Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja di sini, untuk disolatkan, manakala dua lagi yang bukan beragama Islam terus dibawa ke kediaman masing-masing di Sitiawan dan Serian, Sarawak.
“Penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban akan dilaksanakan mengikut tradisi tentera laut di setiap lokasi pengebumian dipersetujui waris,” katanya.
Jenazah kesemua mangsa beragama Islam dibawa menggunakan lapan van jenazah pada pukul 5 petang.
Sejurus selesai solat jenazah di kem tentera tersebut, kesemua jenazah itu terus dihantar pulang ke lokasi pengebumian masing-masing mengikut permintaan waris mereka pada sekitar pukul 6 petang.
Kosmo! melaporkan, kejadian pada pukul 9.32 pagi itu berlaku apabila dua buah helikopter membabitkan helikopter Fennec dan Helikopter Operasi
Maritim (HOM) AW139 TLDM tiba-tiba berlanggar di udara sebelum terhempas.
Ketika kejadian, kedua-dua helikopter itu sedang menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung esok di Pangkalan TLDM, di Lumut.
HOM AW139 terhempas di tempat duduk penonton Stadium Pangkalan TLDM, manakala helikopter Fennec berdekatan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
Seorang anggota TLDM yang sedang berenang di dalam kolam itu pula cedera ringan apabila terkena serpihan helikopter.
Mereka yang terkorban ialah Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun, Pegawai Waran II Noorfarahimi Mohd. Saedy (penumpang), Bintara Muda Noor Rahiza Anuar (penumpang), Laskar Kelas I Joanna Felicia anak Rohna (penumpang), Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T. Sivasutan dan Pegawai Waran II Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi.
Jasad mendiang Sivasutan disemadikan hari ini di Sitiawan, manakala jasad Joanna Felicia dibawa pulang ke Serian menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob turut hadir di Jabatan Forensik HRPB.














