AKHIR bulan lalu, arena bola sepak Malaysia seakan dilanda gempa apabila ‘digoncang’ oleh penularan surat layang yang dikirimkan oleh wakil kakitangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Isi kandungannya tidak boleh dipandang remeh kerana pengirim yang menggelarkan diri mereka sebagai Ultrasfam mendakwa wujudnya aktiviti kurang sihat membabitkan hal salah guna kuasa dan rasuah dalam pentadbiran badan induk berkenaan.
Sedikit sebanyak ia mencalar reputasi Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin selepas figura itu menjadi seorang individu penting kepada kejayaan Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit.
Dakwaan yang dibuat cukup berat hingga menjadi isu nasional dan daripada laporan media tempatan juga menyebut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah ambil maklum, malah beberapa bukti seperti fail daripada FAM sudah diambil.
Apa juga jawapan yang keluar daripada pengurusan tertinggi, FAM kini perlu berlapang dada, jadi ‘anak jantan’ dan membuka pintu seluas-luasnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Kita harap menerusi siasatan SPRM ini, ia dapat membersihkan imej FAM. Kita harap tidak ada kesalahan besar seperti didakwa supaya tidak menjejaskan FAM dan ekosistem bola sepak negara.
“Cuma jika hasil siasatan mendapati wujud salah laku, ia pastinya akan menjejaskan perjalanan liga, pemain, pasukan akan terjejas dan kemungkinan liga juga boleh tertangguh,” kata pemerhati sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli.
Surat layang berkenaan menyentuh isu salah guna kuasa, gaji dan manfaat kakitangan, pasukan kebangsaan dan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC).
Cerita ini seakan cukup rasa kerana surat layang itu wujud hanya beberapa hari selepas media tempatan melaporkan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sudah menghantar surat menyatakan kesediaan untuk lepaskan jawatan, iaitu sehari sebelum Kongres Tahunan ke-60 FAM.
Ultrasfam juga bertegas mereka cukup serius untuk selamatkan badan induk itu dan bersedia untuk mengemukakan bukti sekiranya pengurusan tertinggi tidak berubah ke arah lebih baik.
Majoriti pengamal media sukan termasuk penulis turut menerimanya pada tanggal 31 Mac, namun Hamidin sudah pun tampil bagi menjelaskan situasi sebenar bagi pihak FAM.
Selepas hampir sebulan, hal ini seakan senyap buat seketika, namun tidak boleh dinafikan masih wujud ‘sembang kedai kopi’ berkenaan dakwaan ini dan asasnya mudah, ia kerana masih wujud rasa sayang terhadap bola sepak negara.
Paling merisaukan ia akan bertambah buruk hingga menjejaskan reputasi FAM dan bola sepak itu sendiri apatah lagi Liga Malaysia (Liga M) akan membuka tirai bulan depan.
Sudah namanya surat layang, adalah berat sebelah untuk menganggap isi kandungannya tepat 100 peratus.
Timbalan Presidennya, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi bertegas badan induk itu tetap cuba selesaikan isu berbangkit sekaligus mampu menjamin keharmonian bola sepak negara.
“Kita melihat kepada semua faktor sebelum buat laporan polis dan mungkin ia ambil masa. Mungkin juga kita akan jumpa setiap kakitangan FAM dan mendengar apa luahan mereka, sama ada baik atau buruk,” katanya.















