Gambar hiasan

Buat rumah terbuka tapi lupa jemput jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK lengkap rasanya apabila sambutan Aidilfitri, tiada rumah terbuka. Selagi belum habis Syawal acara berkenaan tetap diadakan dan kadang kala berlanjutan sehingga bulan Zulkaedah.

Bukan satu kewajipan agama, sebaliknya lebih kepada adat dan budaya masyarakat setempat bagi mengeratkan silaturahim.

Golongan hawa pastinya paling sibuk ‘berperang’ menyediakan juadah, sama ada masak sendiri atau memastikan katering sampai pada masa.

Namun, konteks rumah terbuka kadang kala tidak seperti dahulu termasuk mendahulukan orang luar berbanding jiran sendiri, masa ditetapkan terlalu singkat atau hadir terlalu lewat sehingga lupa waktu rehat tuan rumah.

Belum lagi membiarkan anak-anak terlalu menjadi ‘penjelajah’ sehingga memasuki ruang peribadi tuan rumah.

Tidak salah juga dikatakan roh silaturrahim Aidilfitri pudar apabila jumlah jemputan terlalu ramai menyebabkan kita tiada masa berkomunikasi atau beramah mesra.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, niat dan persiapan perlu selaras saat mengadakan rumah terbuka dan bukannya hanya sekadar mengikut trend.

Katanya, tujuan utama adalah meningkatkan silaturahim dalam kalangan keluarga, kenalan dan jiran.

“Namun, kalau buat open house sekadar ikut trend atau meraikan skala besar berkemungkinan persiapan asas tidak diberikan perhatian.

“Ini termasuk dari segi keselamatan, kesesuaian waktu, persiapan hidangan makanan dan keperluan masa. Contoh kalau kita sudah buat sediakan khemah dan yang datang, kita tidak sempat menyantuni mereka.

“Lebih menyedihkan apabila ada jemputan yang tiba akhirnya tidak merasai makanan disebabkan telah habis. Jadi, motif dan objektif asal itu tidak tercapai,” katanya.

Menurut beliau, ‘roh’ rumah terbuka Aidilfitri juga hilang ekoran tiada tertib dan adab apabila tidak menjemput jiran.

Ujarnya, perkara ini sudah pastinya menimbulkan suasana kurang harmoni dan salah faham dalam kalangan jiran.

“Kadang-kadang benda kecil tidak diberikan perhatian akhirnya menjurangkan lagi konsep kejiranan itu. Malah ada juga yang lebih memilih ‘sebulu’ dengan mereka sedangkan konsep Aidilfitri untuk bermaafan.

“Ada juga situasi apabila juadah yang tidak habis diserahkan kepada jiran. Ini boleh menimbulkan fitnah sebab konsep rumah terbuka selain kaum keluarga yang paling afdal adalah jiran terdekat,” jelasnya.

Beliau menegaskan agar ibu bapa memainkan peranan apabila membawa anak-anak ke rumah terbuka dengan komunikasi dan teguran boleh dilakukan lebih awal agar mereka berkelakuan baik.

“Kadang-kadang sayang dengan anak ini, perlu tangan-tangankan supaya mereka tahu etika ketika beraya.

“Jadi, sebelum kita tegur di depan orang ramai yang boleh mengaibkan anak atau timbulkan rasa tidak selesa, maka lebih wajar prasyarat beraya dimaklumkan semasa dalam perjalanan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN