fbpx
Gambar kenangan Nurul Izzati (kiri) bersama ahli keluarganya.

‘Nurul Izati tiba-tiba jadi pendiam, suka termenung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAUB – Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak, Nurul Izzati Yunus, 23, yang rentung selepas kereta dinaiki bersama keluarga terbabas dan terbakar di Jalan Ulu Gali-Jelu di sini, tengah malam kelmarin di lihat tidak ceria dan sering termenung ketika pulang beraya.

Menurut kakak sulungnya, Nabilah, 31, dia hairan dengan si­kap adiknya yang menjadi pendiam, sedangkan sebelum ini dia dikenali sebagai seorang yang ceria serta kuat berceloteh.

Katanya, adiknya yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik sempat meluahkan rasa kurang seronok menyambut hari raya pada tahun ini kerana ramai saudara mara telah pulang awal ke rumah masing-masing.

“Lagipun, sebelum kejadian, dia rasa berat hati hendak pulang ke rumah di PJ (Petaling Jaya), namun disebabkan cuti sudah habis, maka dia terpaksa mengikut keluarga untuk balik bersama malam itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Lechar di sini semalam.

Keadaan Proton Saga SL yang dinaiki empat beranak hingga mengakibatkan salah seorang rentung dalam kemalangan di Jalan Ulu Gali-Jelu, Raub kelmarin.

Kosmo! semalam melaporkan, sepasang suami isteri trauma apabila menyaksikan sendiri anak perempuannya rentung selepas kereta jenis Proton Saga SL yang mereka naiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Ulu Gali-Jelu di sini.

Kejadian pada pukul 12.45 te­ngah malam itu mengakibatkan Nurul Izzati mati di tempat kejadian.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan untuk pulang ke rumah di Petaling Jaya, Selangor selepas berhari raya di kampung di mukim Dong.

Kereta itu dipandu bapa ­mangsa turut dinaiki oleh abang dan ibunya yang berada di tempat duduk belakang.

Ketiga-tiga mereka bagaima­napun mengalami cedera ringan dan dirawat di zon kuning Hospital Raub.

Dalam pada itu, seorang lagi kakak mangsa, Nur Eliani, 27, berkata, dia dimaklumkan keja­dian yang menimpa keluarga­nya kira-kira pukul 2.20 pagi sebelum bergegas pulang ke kampung bersama seorang lagi adik lelaki, Muhammad Syakirin, 25.

“Saya dan Syakirin tidak dapat bercuti raya kerana tuntutan kerja di Kuala Lumpur. Ketika dimaklumkan oleh ahli keluarga tentang kejadian tersebut saya berasa sangat terkejut dan sedih.

“Saya cukup rapat dengan arwah adik dan kami sering berkongsi cerita, namun selepas tragedi ini saya tiada lagi tempat meluah,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Rabiah Ibrahim, 69, berkata, ketika kejadian kedua-dua ibu bapanya telah cuba sedaya upaya menariknya keluar dari kereta, namun gagal kerana api marak membakar kenderaan terbabit.

“Saya dimaklumkan arwah tersepit dan sukar ditarik keluar dari kereta. Tambahan pula api terlalu cepat membakar selepas kereta yang dinaiki terbabas dan melanggar pokok.

“Kejadian ini memberi kesan trauma kepada keluarga, tambahan pula masih dalam suasana hari raya,” ujarnya.

Berita berkaitan: Pelajar USAS rentung, kereta dipandu bapa terbabas, terbakar

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN