fbpx
GAMBAR HIASAN

Titah Sultan Nazrin wakili suara rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD TURMADZI MADUN, PENGARANG BERITA KOSMO.

Pukul habis! Itulah perkataan yang tepat bagi menggambarkan mengenai titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Istiadat Pelantikan Menteri Besar ke-14 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar kelmarin.

Sindiran dalam titah Sultan Nazrin dapat dilihat pada perenggan pertama di dalam perutusan baginda sekali gus memecahkan hening pagi balairong seri istana yang terletak bersebelahan dengan Masjid Ubudiah itu.

“Tiga kali pelantikan menteri besar selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 mencatatkan sejarah yang tidak pernah berlaku dan ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Ia bukan kejayaan sebaliknya mencerminkan kegagalan,” titah baginda.

Benar tuanku. Sememangnya rakyat Malaysia sudah penat dengan wayang politik yang dimainkan oleh sesetengah wakil rakyat.

Jika bukan kerana pergolakan politik di Sabah, tidak mungkin jumlah jangkitan akibat pandemik Covid-19 di Malaysia Khamis lalu direkodkan sebagai yang tertinggi pernah berlaku iaitu sebanyak 2,234 kes.

Jika bukan kerana politik, tidak mungkin jawatan perdana menteri bertukar tangan sebelum sempat PRU-15 diadakan.

Jika bukan kerana politik, tidak mungkin Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang jawatan sebagai menteri besar sebelum sempat beliau membentangkan belanjawan negeri untuk tahun 2021.

Ahli-ahli politik, lihatlah di laman sosial. Berbuallah dengan orang-orang lama di kedai kopi. Jenguk-jenguklah orang-orang miskin di kawasan masing-masing.

Rata-rata komen di laman sosial sekiranya topiknya berkaitan politik pasti akan mengundang kecaman daripada netizen. Masih mahu tidur lagikah? Atau sememangnya mahu dihukum pada PRU-15 nanti. Tepuk dada tanya selera.

Titah baginda kemudian disambung lagi dengan lebih kurang begini maksudnya:

“Sikap sebenar insan akan terserlah apabila dia kaya, watak sederhana serta merendah diri akan hilang diganti dengan sifat sombong dan gelagat bongkak di saat dia mendapat harta.”

Bidasan pedas Sultan Nazrin itu sememangnya tepat pada masanya. Sudah pasti baginda sendiri agaknya sudah muak dan bosan dengan pergolakan politik yang akhirnya akan membawa kerugian kepada rakyat Perak.

Sampai bila agaknya politik Malaysia akan berterusan sebegini kerana rakyat ketika ini mendambakan gelora politik matang baik daripada pihak pemerintah mahupun pembangkang.

Tidakkah kalian terfikir jika keuntungan yang dikembalikan kepada rakyat sekali gus akan menatijahkan kemenangan kepada parti politik kamu juga?

Namun, tidak dinafikan ada juga ahli politik yang berjuang semata-mata kerana pengundinya dan tahniah kita ucapkan kepada mereka yang mempunyai sikap seperti ini.

Apapun, selamat berjuang dan penuhilah segala janji-janji manis ketika berkempen wahai ahli politik sekalian. Tidak lupa juga sekalung tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan,

Datuk Saarani Mohamad yang menjadi Menteri Besar Perak ke-14. Daulat tuanku!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN