PETALING JAYA – Setiap kali sambutan Aidilfitri, pastinya jalan raya akan sesak dengan orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung halaman, namun kini suasana itu bertukar apabila segelintir pihak memilih untuk bercuti bersama keluarga pada hari raya pertama.
Golongan ini memilih pusat-pusat rekreasi dan hotel serta tempat menarik di luar negara bagi meraikan cuti Aidilfitri. Mereka hanya pulang meraikan hari raya pada minggu kedua atau ketiga Syawal.
Semuanya dilakukan kerana tidak sanggup bersesak di atas jalan sehingga lebih 10 jam selain mahu memanfaatkan cuti bersama insan tersayang.

Seorang akauntan, Farah Nabilah Ismail, 26, yang menetap di Shah Alam berkata, tahun ini dia dan keluarganya memilih untuk bercuti di ibu negara berbanding pulang ke kampung di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Kami tidak sanggup lagi terperangkap di atas jalan raya selama 10 jam. Jadi tahun ini, kami bercadang untuk bercuti daripada pulang ke kampung.
“Bagi saya tidak salah pergi bercuti, sebab Aidilfitri sebulan, mungkin kami akan pulang ke kampung pada hari ketujuh. Kebiasaannya waktu itu jalan pun kurang sesak, jadi boleh balik kampung dengan aman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! .
Pandangan sama dikongsikan pengurus syarikat swasta, Mimie Ismail, 35, yang memberitahu, dia dan suaminya sudah tiga tahun memilih untuk pergi bercuti berbanding pulang ke kampung di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Ujar ibu kepada dua anak itu, keputusan berkenaan diambil selepas ibu bapanya meninggal dunia selain tidak mahu berdepan dengan kesesakan jalan dari rumah mereka di Subang Jaya.
“Boleh saja mahu pulang ke kampung dan meraikan bersama sanak-saudara tetapi bagi kami, cuti raya inilah waktu terbaik untuk meluangkan masa dengan anak-anak. Macam tahun lepas kami ke Pulau Redang.
“Tahun ini pula insya-Allah raya pertama kami ke Sabah. Pergi bercuti berbanding beraya rumah sanak-saudara bukan bermakna tak rapat dengan adik-beradik, malah saya sangat rapat dengan mereka,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pegawai bank, Mohd. Zaidi Nor, 39, berkata, tahun ini dia memilih untuk membawa isteri dan tiga anaknya melancong ke Pakistan pada hari raya pertama.
Dia yang menetap di Damansara Perdana berkata, selain susah mendapat cuti panjang, dirinya juga tidak sanggup berdepan dengan kesesakan jalan raya untuk pulang ke kampung yang terletak di Kuala Krai, Kelantan.
“Bila dapat cuti panjang macam ini dan anak-anak pun bercuti sekolah, saya fikir kenapa tidak bawa mereka melancong ke luar negara.
“Kalau pergi dalam negara kemungkinan sama sahaja kena hadap jalan sesak. Jadi kami pergi ke Pakistan dan kami merancang untuk pulang ke kampung pada minggu ketiga raya.
“Alhamdulillah ibu bapa di kampung pun sememangnya faham sahaja. Malah tahun ini juga giliran adik-beradik lain menyambut Aidilfitri dengan ibu bapa,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pegawai pentadbiran, Nurul Atiqah, 27, yang menetap di Kota Masai, Johor Bahru berkata, menjadi rutin buatnya seiisi keluarga untuk bercuti pada hari raya kedua setiap tahun.
“Bagi saya tak salah bercuti semasa hari raya. Raya pun sebulan, ziarah-menziarahi pun bukan sahaja pada waktu raya. Luar waktu raya pun boleh buat. Yang penting ikut pada kemampuan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Green Land Adventures & Tours Sdn. Bhd., Noor Hafizah Razali berkata, tahun ini menyaksikan peningkatan tempahan dengan 17 orang akan berlepas ke Greenland dan Pakistan pada hari raya pertama dan kedua.
“Untuk keseluruhan ‘trip’ raya ke Pakistan sepanjang bulan Syawal tahun lepas kita terima 80 tempahan, manakala tahun ni melonjak naik ke 140 tempahan.
“Trend bercuti ke luar negara semasa raya pertama dan kedua raya ini pun sudah bermula sejak tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, tapi lebih memuncak bermula tahun lepas,” katanya.














