Ramadan hampir ke penghujungnya, insya-Allah tinggal dua hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut ketibaan tarikh keramat 1 Syawal selepas sebulan melaksanakan ibadah puasa.
Aidilfitri bukan sekadar simbol kemenangan mengekang hawa nafsu tetapi lebih daripada itu apabila ia hadir dengan falsafah kemaafan, rekonsiliasi hati tanpa ada rasa amarah atau dendam.
Memelihara silaturahim itu sebahagian daripada tuntutan agama, justeru peluang ini wajar dimanfaatkan sebaiknya untuk melupakan segala sengketa dan melunturkan ego dengan memohon kemaafan serta memaafkan.
Acap kali kita dengar anak berselisihan faham dengan orang tua, adik-beradik bermasam muka, suami isteri berantakan dan sengketa jiran tetangga yang tidak berpenghujung.
Tidak hanya seputar itu, dunia politik turut menyaksikan babak pergaduhan ‘memualkan’ hanya kerana perbezaan ideologi dan prinsip sehingga mengheret pengikut untuk turut berseteru.
Begitu juga dengan industri hiburan apabila kalendar 2024 menyaksikan pelbagai drama panas membabitkan hubungan anak-beranak, skandal selebriti dan keretakan rumah tangga yang ‘dicanang’ sendiri tuan badan dalam media sosial. Genderang ‘perang’ yang dipalu menjadi santapan masyarakat khususnya warganet.
Cukup-cukuplah berseteru yang pada akhirnya hanya merugikan diri sendiri. Sepanjang Ramadan kita melatih diri untuk bersabar, buang segala sikap buruk yang dibenci Allah SWT dan meninggalkan larangannya, jadi sempena kehadiran Syawal bukalah pintu hati untuk perbaiki hubungan sesama manusia.
Bermaaf-maafanlah, buang yang keruh, ambil yang jernih. Sudah tiba masanya kita mencari titik persamaan, bukan melihat perbezaan. ‘Kerosakan’ sudah pun berlaku, tiba masa untuk ‘move on’ dengan buang rasa amarah dan dendam kesumat. Lagipun, kehidupan manusia bukan lama, ada tarikh tamat tempoh.
Ramai terlepas pandang bab yang satu ini seolah-olah diri menongkat langit walhal hayat yang dipinjamkan Allah SWT dibazirkan dengan hal-hal negatif dan menyakitkan. Hakikatnya banyak perkara indah boleh kita nikmati menerusi istilah maaf dan memulihkan silaturahim.
Sesungguhnya perbuatan memaafkan kesalahan orang lain dituntut agama bahkan dijanjikan ganjaran yang cukup besar di akhirat kelak. Ini jelas dalam surah Ali-Imrah, ayat 134.
Begitu juga orang yang memohon maaf di atas kesalahan yang telah dilakukan, mereka juga dijanjikan syurga oleh Allah (Surah Ali-Imran, ayat 135-136).
Justeru, usah jadikan ucapan “Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin” sekadar budaya sebaliknya memaknainya dengan keikhlasan dan niat menjaga silaturahim. Dengan kemaafan lahirnya kasih sayang dan pemuafakatan yang bakal menguntungkan ummah.
Kepada yang memandu pulang ke kampung halaman, berhati-hati di jalan raya. Berhenti rehat seketika sekiranya penat atau mengantuk. Semoga selamat tiba di destinasi dan bertemu insan tersayang.
Akhir kata, selamat hari raya, maaf zahir batin. Jom kita 0-0.














