TERPAKSA menangguhkan kerjaya profesional sebagai doktor gigi bagi terlibat dalam program realiti setelah tamat pengajian bukanlah satu perkara mudah.
Namun, keputusan yang diambil wanita kelahiran Muar, Johor ini, berbaloi apabila dia diangkat sebagai juara MasterChef Malaysia pertama sekitar 13 tahun lalu.
Imbas Dr. Ezani Farhana Md. Monoto, 39, atau lebih mesra disapa Ezani, dinobatkan sebagai juara adalah sesuatu di luar sangkaan.
“Dinobatkan sebagai MasterChef Malaysia musim pertama merupakan perasaan yang paling menakjubkan dan sesuatu tidak pernah disangka akan terjadi dalam hidup saya.
“Terlalu banyak yang saya pelajari sepanjang pertandingan ini terutama ilmu-ilmu kulinari daripada chef-chef terkemuka, pendedahan dunia kulinari, pengalaman memasak dalam pelbagai situasi.
“Bersaing dengan Wahidan (peserta) pada peringkat akhir merupakan satu penghormatan yang amat besar kerana dia merupakan seorang tukang masak yang paling jujur dan hebat,” katanya membuka bicara bersama Aura.
Daripada pertandingan yang berlangsung pada 2011 itulah nama wanita ini mula popular dan dikenali ramai.
Kini, tanpa menoleh ke belakang, Dr. Ezani terus mengorak langkah dalam bidang kulinari apabila mengembangkan perniagaan kek dan pastrinya, Pastribella Bakeshop di Cyberjaya.
Sibuk dengan perniagaan, lebaran ini, Dr. Ezani teruja untuk menyambut ketibaan hari mulia itu dengan penuh gembira bersama keluarga tercinta.
“Kami akan bercuti lama dari 8 hingga 14 April dan akan beroperasi semula selepas itu.
“Sesiapa yang nak bawa buah tangan untuk raya juga sempat lagi ke Pastribella atau membeli secara online ‘signature cookies raya’ dan giftbox sampailah menjelang raya nanti. Kami turut menerima tempahan untuk rumah terbuka dan apa sahaja acara,” ungkapnya yang sudah berumah tangga dan mempunyai dua orang cahaya mata.

Dr. Ezani mula berkhidmat sebagai doktor gigi sejak 2013, kira-kira dua tahun selepas bergelar juara MasterChef.
Bagaimanapun, pada tahun 2019, Dr. Ezani mengambil keputusan meninggalkan kerjaya tetapnya sebagai doktor gigi bagi menumpukan perniagaan keknya.
Kongsinya, biarpun sudah tidak lagi bertugas sebagai doktor gigi sepenuh masa, dia tetap menjalankan locum (doktor gigi separuh masa di klinik swasta) sekali-sekala jika rindu untuk merawat pesakit.
Akui Dr. Ezani dia memang minat memasak. Sejak kecil, dia suka ‘menyibuk’ di dapur membantu arwah ibunya memasak dan membaca buku resipi ibunya.
“Boleh dikatakan minat memasak itu memang timbul sejak kecil lagi sampailah saya remaja dan dewasa.
“Pantang ada masa, mesti saya akan memasak dan suka membakar kek atau kuih selain cuba pelbagai resipi baharu.
“Pun begitu, cita-cita dan impian saya untuk bergelar doktor gigi masih membara dalam jiwa dan buktinya saya berjaya menyambung pengajian dalam bidang tersebut di Australia,” katanya.
Dedah Dr. Ezani, penglibatannya dalam pertandingan realiti memasak popular terbitan Astro itu juga sebenarnya bermula tanpa dirancang.
“Sejak dari kecil lagi, saya ada seorang kawan bernama Nurul dan insan inilah yang bertanggungjawab ‘menolak’ dan memperkenalkan saya ke dalam dunia kulinari tanah air sekali gus mengubah hidup saya.
“Nurul inilah yang mengisi dan hantar borang penyertaan kepada MasterChef yang ketika itu baru buka penyertaan untuk musim pertama pada 2011.
“Jadi tanpa berfikir panjang, saya pun ikutkan sahaja kerana masa itu baru graduate sementara belum dipanggil untuk berkhidmat.
“Selepas dinobatkan sebagai juara yang saya sendiri tak pernah sangka, perasaan gembira tiba-tiba bertukar menjadi panik.
“Saya jadi panik dan risau kerana sedar hidup akan berubah 360 darjah. Mengikut perancangan awal, selepas usai MasterChef saya akan mula posting (dihantar) ke Sabah.
“Jadi, saya minta tangguhkan posting saya, buat surat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan alhamdulillah permohonan saya diluluskan.
“Bergelar juara, saya juga ada komitmen dan terikat kontrak bersama Astro Talents selama setahun, jadi saya tiada pilihan selain terpaksa tangguhkan kerjaya doktor gigi dan hanya memulakan tugas pada 2013,” ujarnya panjang lebar.
Beruntungnya, dia tidak perlu rentasi Laut China Selatan seperti perancangan awal kerana ditempatkan di Klinik Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor dan tidak jauh dari kediamannya di Bangi.
Ketika itu juga, selain memenuhi segala aktiviti promosi dan dijemput untuk memenuhi undangan program dan acara memasak, Ezani turut bekerja sepenuh masa sebagai doktor gigi.
Selama enam tahun, dia seronok memegang dua kerjaya dalam satu masa sampailah pada tahun 2019 apabila dia terpaksa membuat keputusan berat dalam hidupnya.
Katanya, selepas mengumpul dan berbekalkan sedikit pengalaman dalam kulinari, dia dan sahabat baiknya, Nurul sepakat dan nekad membuka sebuah perniagaan kek dan pastri bersama.
Maka, lahirlah Pastribella Bakeshop di Tamarind Square, Cyberjaya yang dioperasikan mereka berdua.
Ujar Ezani, pada peringkat awal penubuhan, mereka berdualah yang menguruskan sepenuhnya daripada membakar kek sampailah menjaga kaunter dan menjadi cleaner.
“Enam bulan pertama begitulah. Semuanya kami lakukan sama-sama. Bila nampak ada progres dan permintaan, saya sekali lagi ambil keputusan berat dalam hidup.
“Saya nekad untuk berhenti dan lepaskan jawatan doktor gigi untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada perniagaan bila nampak ia ada potensi untuk berkembang jauh.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah, apa yang saya perjuangkan itu berbaloi dan tahun ini memasuki tahun kelima Pastribella bertapak dalam industri.
“Insya-Allah jika tiada aral melintang, tahun ini kami bakal kembangkan sayap membuka cawangan kedua di Wangsa Melawati di ibu negara,” ujarnya.

Tutup soal kerjaya dan berkongsi juadah wajib rayanya di pagi Syawal, Ezani memberitahu, kebiasaannya keluarganya akan memasak rendang dan sayur lodeh.
“Cuma istimewanya, setiap tahun saya akan masak sambal goreng Jawa resipi rahsia keluarga sebelah abah yang berasal dari Parit Saidi, Batu Pahat.
“Nama juadahnya pun sambal goreng Jawa, jadi asalnya pun daripada orang Jawa. Bapa memang orang Jawa dan itulah juadah ditunggu-tunggu. Kalau tiada, rasa tidak lengkap raya,” katanya.
Tentang rumah terbuka pula, biarpun seorang yang sinonim dengan dunia masakan, Ezani belum lagi pernah mengadakan rumah terbuka kerana memang hanya akan beraya di kampung.
Baginya, Hari Raya Aidilfitri selalunya agak privasi dan masanya dihabiskan bersama keluarga untuk berkunjung ke rumah kenalan dan sanak saudara sahaja.
“Senang kata, saya memang tak buat rumah terbuka, tetapi saya yang selalunya datang ke rumah terbuka orang lain,” katanya seraya tertawa kecil.














