PERJALANAN pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan tidak boleh dipisahkan dengan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak sebelum hari perayaan.
Ini kerana, sudah menjadi kebiasaan rakyat Malaysia memilih untuk pulang ke desa pada saat-saat ketika kadar kenderaan tinggi di lebuh raya.
Bagi memberikan solusi terhadap masalah kesesakan di lebuh raya ketika musim perayaan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memperkenalkan aplikasi digital untuk pengguna merancang perjalanan semasa musim perayaan iaitu MyPLUS-TTA.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, aplikasi itu merupakan medium untuk membantu mengoptimum pengagihan trafik dalam usaha mengurangkan risiko kesesakan dan meningkatkan keselesaan pengguna.
Ini membuktikan usaha dan komitmen berterusan PLUS dalam menambah baik mutu perkhidmatan lebuh raya di bawah kendalian agensi itu termasuk menyokong aspirasi pendigitalan oleh kerajaan.
“Menerusi aplikasi ini, kita telah meletakkan beberapa fungsi seperti maklumat terkini keadaan lebuh raya, khidmat SOS kecemasan dan anggaran trafik mengikut hari berdasarkan data-data terdahulu.
“Pengguna boleh ke fungsi ini untuk merancang perjalanan mereka kerana pola kadar kenderaan setiap tahun tidak jauh berbeza.
“Malah, setiap keluarga boleh menjangkakan waktu sesuai untuk memulakan pergerakan pulang ke kampung,” katanya ketika ditemu bual Infiniti di Persada PLUS, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Menerusi aplikasi itu juga, pengguna boleh menerima notifikasi maklumat terkini keadaan semasa lebuh raya.

Ini membolehkan para pengguna lebuh raya lebih peka dan berhati-hati sekiranya berlaku kesesakan akibat kemalangan atau kereta rosak di hadapan mereka.
Aplikasi itu juga boleh diintegrasikan dengan aplikasi MyJalan sedia ada dalam usaha memastikan pengguna mendapat manfaat daripada informasi berkenaan lebuh raya.
Nik Airina berkata, MyPLUS-TTA adalah salah satu inisiatif bawah rangka strategi jangka panjang PLUS ke arah lebuh raya pintar (smart highway) untuk mempercepatkan operasi dan perkhidmatan PLUS.
Jelasnya lagi, menerusi aplikasi itu, pengguna boleh menyemak kadar tol, lokasi Rehat dan Rawat (R&R) terdekat serta lokasi kiosk tambah nilai.
Pengguna juga boleh mendaftarkan kad Touch ‘n Go dengan aplikasi itu bagi membolehkan mereka merujuk baki semasa dan bersedia menambah nilai di kiosk tambah nilai terdekat.
Sementara itu, bagi urusan kecemasan, aplikasi itu tersedia untuk fungsi SOS supaya pengurusan seperti kereta rosak atau kemalangan dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Jika berlaku kecemasan di lebuh raya seperti kenderaan rosak, pengguna boleh menggunakan fungsi SOS.
“Menerusi fungsi itu, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada pihak PLUS Ronda.
“Fungsi ini memerlukan pengguna memberikan maklumat termasuk lokasi bagi membolehkan bantuan tiba dengan cepat di tempat yang betul, sekali gus melancarkan trafik,” ujarnya.
Buat masa ini, MyPLUS-TTA boleh diakses menerusi aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store (pengguna Android) dan App Store (pengguna iPhone).














