fbpx
Gambar hiasan.

Hati-hati bersedekah, ramai berlakon miskin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Orang Malaysia sememangnya dikenali sebagai rakyat yang bersifat pemurah dan suka membantu orang lain yang dalam kesusahan.

Bagaimanapun, amalan bersedekah khususnya dari segi pemberian duit ini dilihat seperti menggalakan kewujudan lebih ramai insan yang suka mengambil kesempatan dalam kesempitan.

Penulis secara peribadinya berasa khuatir dengan sifat ‘murah hati’ tidak bertempat rakyat Malaysia.

Sedekah memang amalan mulia tapi perlulah kaji selidik kepada siapa, sebab dan ke mana duit yang diberi akan digunakan.

Baru-baru ini, kita disajikan dengan banyak berita serta video tular mengenai pengemis yang ‘dilondehkan’ masyarakat berhubung kegiatan serta taktik licik mereka berpura-pura sakit, tidak berkemampuan, ada masalah kewangan dan sebagainya.

Selain isu warga asing meminta sedekah di bazar Ramadan, penulis juga terkesima apabila melihat video tular seorang pengemis dipercayai warga emas menaiki sebuah kereta Honda selepas menagih simpati orang ramai.

Apakah perasaan pembaca apabila melihat fenomena sedemikian?

Bercerita mengenai pengalaman sendiri, penulis kini lebih berhati-hati dalam bersedekah dan akui sedikit paranoid selepas ditipu pengguna media sosial yang meraih simpati dengan bermodalkan tiada wang untuk membeli keperluan anak seperti susu, lampin dan lain-lain.

Tidak hanya itu, penulis juga pernah menyaksikan pengemis buta yang menjual tisu ‘bertukar’ menjadi individu normal sebaik sahaja menuju ke sebuah kereta sewa yang diparkir berdekatan sebuah restoran di Shah Alam, Selangor pada tahun lalu.

Secara jujurnya, terlalu ramai yang mengambil kesempatan sehinggakan kita sendiri tidak mampu membezakan mana satu yang betul-betul memerlukan bantuan.

Penulis bukan ingin menghasut supaya tidak bersedekah tetapi ingin menggalakkan pembaca supaya menderma di saluran yang betul agar tidak tertipu dengan golongan sebegini terutamanya sindiket.

Buat mereka yang benar-benar dalam kesusahan dan inginkan bantuan pula, carilah inisiatif yang betul atau pihak yang dipercayai.

Selagi ada tulang empat kerat, selagi itu kita perlu berusaha teruskan kehidupan. Usah biasakan budaya meminta-minta melainkan sudah berusaha sehabis mungkin dan hilang upaya meneruskannya.

Hakim Ibnu Hizam berkata, Nabi SAW bersabda, tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Dan berilah lebih dahulu kepada orang yang engkau tanggungi.

“Dan sebaik-baik sedekah adalah sedekah yang sesudah kita berikan masih ada sisa yang cukup bagi kita. Sesiapa yang memelihara diri daripada yang haram dan meminta-minta, nescaya

Allah menjadikannya orang yang terpelihara. Dan sesiapa yang memohon kepada Allah supaya diberi kecukupan, nescaya Allah memberikan kecukupan untuknya,” hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Pada pendapat penulis, lebih baik bersedekah kepada orang-orang terdekat seperti keluarga dan rakan terlebih dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN