SUNGAI PETANI – Berbuka puasa dengan nasi ulam bersama asam pedas sayur keladi boleh dikatakan menjadi juadah ‘rasmi’ penduduk Kedah setiap kali berbuka puasa di bulan Ramadan.
Ekoran itu, Johari Abdullah, 62, berkata, dia meneruskan tradisi menjual set nasi itu sejak enam tahun lalu di Bazar Ramadan Kota Kuala Muda dekat sini.
Katanya, nasi itu dimasak sendiri menggunakan resipi dipelajari daripada ibunya, Zabedah Abdullah, 90.
“Ia merupakan nasi putih yang digaul bersama pelbagai jenis ulam kampung serta isi ikan talang masin.
“Saya menggunakan 44 jenis ulam seperti daun sekentut, pucuk janggus, pucuk putat, bunga kantan dan lain-lain,” katanya ketika ditemui baru-baru
ini.
Menurut Johari, proses menyediakan bahan nasi ulam agak rumit dan memerlukan kesabaran ekoran ia perlu dihiris halus sebelum digaul.
Tambahnya, dia menyediakan sebanyak lima kilogram nasi ulam setiap hari untuk jualan di bazar ramadan tersebut dan harga bagi satu set nasi ulam bersama asam pedas sayur keladi dijual pada harga RM10.














