fbpx
FASA perkahwinan Datin Alyah hampir menyamai lekuk sulit kemunculannya sebelum berlimpah kemilau popular. Hidup bergelar isteri Datuk Ramli MS juga begitu. Panas dingin berdepan suhu bermusim, namun berkat sabar ikatan mereka kini bertambah kukuh.

Saya pun ada ‘value’ – Alyah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEDEKAD melayari kehidupan berumah tangga sudah cukup membuatkan penyanyi Datin Alyah mengenali sisi budiman suami tercinta, Datuk Ramli MS yang disifatkan segelintir individu sebagai tegas dan lantang.

Bagi pemilik nama sebenar Noor Hasliah Abu Hasan, hakikatnya lelaki yang mesra dibahasakan Tok Ram itu berjiwa penyayang dan sarat humor seperti dilihat menerusi televisyen.

Berbanding Alyah, suaminya Tok Ram lebih rajin dan handal di dapur sepanjang Ramadan ini.

Berbeza karakter

Perbezaan karakter dan pendekatan berfikir menjadikan kehidupan mereka sarat warna, sekali gus mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

Baginya, memasuki tahun ke-10 hidup bersama maestro muzik itu sebagai fasa menenangkan apabila masing-masing semakin memahami keperibadian dan sikap satu sama lain.

“Saya percaya tiada seorang pun manusia yang sempurna, jadi kami saling melengkapi dengan menerima kekurangan mahu pun kelebihan masing-masing seadanya.

“Sebagai suri berkerjaya, saya juga berusaha melakukan sehabis baik dengan melaksanakan tanggungjawab di rumah.

“Apa yang kurang saya cuba perbaiki, namun selebihnya tawakal saja kepada Allah.

“Semua persefahaman ini bukan dapat wujud dalam tempoh setahun dua, tapi kita kena banyak bertolak ansur dan andai berlaku perubahan antara kami, jangan menuding jari, sebaliknya masing-masing duduk berbincang,” katanya membuka bicara.

Pengalaman, pengajaran

Mengakui hubungan ada pasang surutnya, penyanyi Kisah Hati itu menyifatkan situasi terbabit sebagai lumrah kepada setiap pasangan yang secara tidak langsung menguji kekentalan ikatan.

Dia bahkan mahu berkongsi dengan semua orang bahawa jika berlaku sesuatu perkara dalam kehidupan, itu bukanlah perkara buruk tetapi lebih kepada proses pembelajaran.

“Kena positif biar seteruk mana ujian mendatang, begitu juga dengan semua yang anda tahu mengenai perjalanan karier seni saya, kisah rumah tangga saya dan apa yang kami suami isteri lalui hingga masih teguh pada tahap sekarang.

“Alhamdulillah, dugaan tahun-tahun terawal sudah berjaya kami depani biarpun untuk perjalanan akan datang, kita tak tahu apa lagi ujian bakal ditempuh.

“Paling pasti pada fasa sekarang kami lebih relaks, lebih matang dan lebih gembira. Susah atau senang, itu bergantung cara kita menanganinya,” luahnya.

Ditemui usai pelantikan sebagai duta produk kecantikan dan kesihatan jenama Twomee, Alyah juga mengakui, sentiasa meminta kepada Allah selain mengamalkan surah Yasin dan al-Fatihah sebagai rutin keharmonian hidupnya.

ALYAH berbesar hati menerima pelawaan menjadi duta produk kecantikan Twomee daripada pengasasnya, Datuk Suraya Semaru.

Raih kepercayaan Twomee

Mengenai pelantikan sebagai duta produk, figura berusia 43 tahun itu bersyukur mendapat kepercayaan pengeluar seperti Twomee Health Beauty untuk mewakili jenama mereka.

Katanya, misi syarikat tersebut yang tidak melupakan tanggungjawab sosial menguatkan lagi keinginannya menjalin kerjasama, termasuk bakal melaksanakan misi jelajah sepanjang Ramadan ini.

“Sudah tentu saya menggunakan dulu Twomee malah bukan itu saja saya turut dapat membantu wanita lain menambah pendapatan serta tolong insan sekeliling yang berada dalam kesulitan.

“Ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, saya masih dikurniakan rezeki, jadi saya nak bantu mereka yang memerlukan menerusi kolaborasi ini.

“Buat masa ini ada beberapa lokasi yang bakal kami singgah membabitkan promosi produk selain menyerahkan sumbangan,” kongsinya.

Ditanya pula mengenai keterbukaannya bersama Tok Ram memandangkan mereka berdua bekerja dalam bidang sama, Alyah terbuka sekiranya ada stesen televisyen mahu mengundang mereka berdua sebagai peserta.

Tinggal lagi kata Alyah, biarlah penglibatannya bukan atas kapasiti seorang isteri, tetapi lebih kepada menampilkan dirinya sebagai penyanyi memandangkan dia juga berkerjaya.

“Saya juga penyanyi, jadi kalau nak jemput saya dalam program yang turut membabitkan suami, tidak boleh letakkan saya sebagai isteri saja sebab saya pun ada ‘value’ (nilai).

“Memang ada pun yang panggil ke beberapa program sebagai isteri Tok Ram, sepatutnya tawaran itu datang atas nama saya juga, Alyah.

Sepanjang Ramadan, Alyah banyak menghabiskan masa di rumah kecuali ada jemputan melibatkan produk yang diwakili.

“Kadangkala bukan semata-mata soal bayaran kita tolak atau terima sesuatu projek, sebaliknya pengisian yang boleh saya sumbangkan dalam program terbabit,” ulasnya.

Sepanjang Ramadan pula, seperti tahun-tahun terdahulu Alyah dan Tok Ram lebih banyak memperuntukan masa bersama-sama.

“Kebiasaannya tidak banyak program atau komitmen tugasan sepanjang bulan puasa, kecuali kali ini ada beberapa acara membabitkan promosi dengan Twomee serta jemputan berbuka puasa.

“Kalau masing-masing ada di rumah, selalunya selepas berbuka kami akan ke masjid berhampiran untuk menunaikan tarawih.

“Mengenai hidangan bersahur dan berbuka pula, saya jenis orang yang ‘simple’ kalau bersahur macam masak nasi goreng atau yang dapat dijadikan alas perut sepanjang hari.

“Tapi Tok Ram pula suka memasak. Selalunya tugas menyediakan juadah berbuka, memang dia buat sebab dia pakar memasak.

“Ada saja makanan berat atas meja termasuk nasi beriani,” kongsi Alyah menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN