MENJADI tanggungjawab buat seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Amir untuk menguruskan anak-anak saudara yang menjadi yatim setelah kematian bapa mereka iaitu abangnya.
Menurut Amir, abangnya itu telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya bersama isterinya dan mereka meninggalkan tiga cahaya mata yang pada ketika itu masih kecil.
“Sebagai bapa saudara, jatuh kepada tanggungjawab saya untuk memelihara mereka dari sudut agama.
“Pada mulanya, saya tiada masalah untuk menjaga mereka, tetapi lama-kelamaan saya berasa seperti terbeban untuk terus menjaga mereka,” katanya yang kini berusia awal 50-an.
Tambah Amir, akhirnya dia mengambil keputusan untuk menghantar anak-anak abangnya ke rumah anak yatim. Namun, tindakan yang dilakukan oleh Amir itu diketahui oleh ahli keluarga sebelah ibu kanak-kanak itu.
Mereka kemudiannya telah mengambil alih tanggungjawab itu dengan mengambil kanak-kanak tersebut untuk dipelihara.
Dalam pada itu, Amir mengakui bahawa sebenarnya abangnya itu ada meninggalkan harta yang agak banyak buat anak-anaknya.
Hal itu telah mengaburi matanya dan dia telah memakan harta-harta anak yatim itu.

– GAMBAR HIASAN
“Sebenarnya saya dan abang saya hanya dua beradik dan ibu bapa kami mempunyai tanah yang agak banyak.
“Sepatutnya tanah peninggalan ibu bapa saya ini harus dibahagi dua antara saya dan abang saya tetapi saya tidak melakukan itu dan tidak memberikan hak yang sepatutnya kepada anak-anak saudara saya,” jelasnya.
Malah, tanah yang sepatutnya diwarisi oleh anak-anak abangnya itu telah digunakan oleh Amir untuk dibangunkan deretan kedai dan disewakan.
Begitu juga rumah abangnya yang dibina di atas tanah pusaka milik keluarganya turut disewakan kepada orang lain.
Kemudian wang yang diterima olehnya setiap bulan langsung tidak diberikan kepada anak-anak saudaranya, tetapi digunakan olehnya sendiri.
Maka, tidak hairanlah dia mampu untuk hidup mewah.
Setelah anak-anak saudaranya itu diambil oleh keluarga ibu mereka untuk dipelihara, Amir langsung tidak pernah untuk pergi bertemu mereka.
Namun begitu, setelah sekian lama Amir mendapati hidupnya mula tidak pernah tenang dan ada sahaja masalah yang menimpa keluarganya.
“Jika diikutkan pendapatan saya setiap bulan, saya tidak sepatutnya berhadapan dengan masalah kewangan.
“Tetapi saya sendiri tidak mengetahui bagaimana saya boleh berhadapan dengan masalah kewangan dan sering meminjam daripada kawan-kawan.
“Malah, terdetik juga di hati saya adakah kerana memakan harta anak-anak yatim hidup saya menjadi tidak tenang,” ujarnya.
Apa yang membuatkan Amir tersedar adalah apabila tanpa sengaja dia mendengar ceramah agama di radio mengenai hukum memakan harta anak-anak yatim.
Menurutnya, mendengar azab-azab yang ditanggung oleh mereka yang memakan harta anak yatim membuatkan dia mula sedar akan kesilapan yang dilakukan itu.
“Bukan itu sahaja, beberapa hari selepas itu saya juga bermimpi seakan berada dalam lingkungan api yang panas sekali.
“Selain itu, abang saya juga hadir di dalam mimpi saya beberapa malam kemudian dan dia meminta saya menjaga anak-anaknya dan menyerahkan kembali haknya itu kepada anak-anaknya,” terang Amir.
Hal itu telah membuatkan Amir sedar akan kesilapan yang dilakukannya itu dan dia kemudian mengambil keputusan untuk pergi bertemu dengan anak-anak saudaranya yang telah belasan tahun dia tidak ditemui.
Amir mengakui kesalahan yang dilakukan itu dan dia kembali menyerahkan hak-hak bapa mereka yang sepatutnya mereka terima.
Kini, Amir mengakui hidupnya lebih tenang setelah menyerahkan kembali hak-hak anak yatim tersebut.
















