fbpx
YUN terlalu kecewa mempunyai seorang suami yang langsung tidak pernah melakukan suruhan wajib yang ditetapkan agama. Suaminya yang naik bosan dipujuk menunaikan puasa menceraikannya ketika waktu sahur.- Gambar hiasan

Malang seorang isteri, diceraikan selepas pujuk suami puasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali tibanya bulan Ramadan, pasti Yun (bukan nama sebenar) tidak pernah melupakan apa yang terjadi kepadanya.

Manakan tidak, sekitar tujuh tahun lalu ketika umat Islam berpuasa di bulan Ramadan, waktu itu jugalah dia diceraikan suami sekali gus bergelar janda.

Bagi Yun yang berasal dari Kuala Kedah, dia menerima segala takdir Allah itu dengan hati terbuka dan menganggap ada hikmah di sebaliknya.

Berkongsi kepada K2, Yun memberitahu, rumah tangganya berakhir disebabkan salah faham yang melibatkan hal agama.

“Benda pun dah lama jadi. Saya tiada niat nak buka aib Zikri (suami) apatah lagi memburuk-burukkannya.

“Cumanya, itulah apa yang saya kongsikan ini, semoga menjadi tauladan kepada semua di luar sana terutama para wanita,” katanya.

Terang Yun, dia dan suaminya disatukan atas dasar cinta yang berputik dan mekar antara mereka berdua.

Cumanya, jiwa dan darah muda mereka berdua ketika itu membuatkan kedua-dua mereka tidak ambil pusing soal latar belakang diri masing-masing, keluarga dan juga ketaatan kepada agama.

Beritahu Yun, 33, tidak sampai dua tahun menjalin kasih, dia dan Zikri mendirikan rumah tangga dan sah disatukan sebagai pasangan suami isteri.

Beruntungnya, Yun dan Zikri mempunyai kerjaya yang baik dan ekonomi yang stabil serta tiada masalah dari segi kewangan.

“Hampir setahun bersuamikan dia, jujur saya langsung tidak pernah nampak suami mendirikan solat.

“Jangan kata solat, bila tiba bulan Ramadan pun, saya seorang sahaja yang bangun sahur dan berbuka.

“Saya ada tanya dan ajak suami juga untuk berpuasa bersama, tapi pantas suami menolak dan mengatakan dia malas,” tuturnya yang tidak dikurniakan cahaya mata dalam perkahwinan.

Akui Yun, dia bukanlah manusia sempurna tetapi tetap berusaha melakukan yang terbaik sebagai hamba Allah. Lagipun katanya, bab solat lima waktu itu adalah kewajipan semua umat Islam, dan sebagai hamba, wajib melakukannya walau apa keadaan sekali pun.

Pejam celik, sudah lebih dua tahun mereka hidup bersama. Dalam tempoh itu jugalah suaminya langsung tidak pernah melakukan suruhan wajib yang ditetapkan agama.

“Saya sebagai seorang isteri kadangkala malu dan tidak tahu nak cakap apa. Ada juga sesekali saya pujuk dan bercakap baik-baik dengan suami.

“Tapi belum habis cakap, saya pula yang dimaki hamun. Saya pula yang dituduh kononnya bidadari terpaling syurga. Saya betul-betul kecewa dengan sikap suami yang sebegitu. Dia ketua keluarga dan sepatutnya dia memimpin saya ke jalan agama.

“Bab tanggungjawab dan nafkah semuanya suami jalankan dengan baik tanpa culas, tetapi bab agama dan kewajipan sebagai hamba, dia langsung tidak pernah buat,” katanya.

Yun menambah, adakalanya dia cuba husnuzon mungkin suaminya tidak solat di rumah tetapi melakukannya di tempat kerjanya atau di luar.

Klimaks kepada kisah, Yun sedaya upaya memujuk suaminya untuk sama-sama kembali ke jalan Allah kerana masih belum terlambat tetapi lain pula yang diterima.

“Pujuk yang saya lakukan, perpisahan yang saya dapat. Kerana suami ‘fed up’ dengan saya, dia tidak berfikir panjang dan menceraikan saya ketika waktu sahur di bulan Ramadan.

“Saya bagaikan tidak percaya, tetapi itu apa yang dia mahukan. Doa dan harapan saya cuma satu, agar suami kembali ke pangkal jalan dan berubah bukan untuk menjadi alim tetapi cukuplah menjalankan tanggungjawab sebagai Muslim,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN