PETALING JAYA – Pemasangan swing arm atau lengan ayun panjang yang kini menjadi trend dalam kalangan segelintir pemilik motosikal didakwa boleh mengancam keselamatan kepada penunggang kerana ia tidak menepati spesifikasi standard untuk pergerakan jentera berenjin.
Swing arm menjadi kegilaan atas alasan ia menjadikan motosikal yang diubah suai itu lebih cantik, laju, ringan dan kelihatan hebat ketika ditunggang di jalan raya.
Bagaimanapun, apa yang sering dilupakan ialah pemasangan aksesori itu langsung tidak menepati piawaian standard kilang yang berisiko kepada keselamatan dan nyawa penunggang.
Seorang tenaga pengajar sebuah kolej teknikal di Pahang, Wan Mohd. Zulkiflee Wan Fauzi, 41, berkata, lengan ayun pada asalnya hanya untuk kegunaan motosikal lumba jarak dekat bertujuan mengawal kenderaan yang mempunyai kelincahan cekap (pickup).
Katanya, ketika berlumba, jarak panjang lengan ayun itu akan mempengaruhi pusingan tayar dan mengawal kestabilan motosikal daripada bahagian depan terangkat ketika awal perlumbaan.
“Dari sudut keselamatan, ia amat bahaya jika dipasang pada motosikal kegunaan harian seperti bersiar-siar, ke tempat kerja dan sebagainya.
“Lebih bahaya apabila pemilik motosikal yang menukar lengan ayun itu akan membuang brek belakang untuk menampakkan lebih bergaya tetapi ia hanya mengundang bahaya,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Wan Mohd. Zulkiflee, dalam keadaan lain, apabila lengan ayun menjadi panjang dan ketiadaan brek belakang, maka risiko kemalangan lebih tinggi kerana penunggang tidak sempat memberhentikan motosikal dalam keadaan kecemasan.
“Jika terlanggar lubang, lengan ayun akan mudah patah hingga menyebabkan rantai motosikal akan terlucut atau tercabut yang boleh menyebabkan kecederaan pada kaki,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pensyarah automotif dari Giat Mara, Mohammad Zariff Amran berkata, lengan ayun panjang langsung tiada nilai keselamatan jika digunakan kepada motosikal yang bergerak secara harian.
“Sebenarnya, sudah banyak kes yang saya dengar kemalangan berlaku melibatkan lengan ayun motosikal yang diubah suai ini, ia memang bahaya,” katanya.
Menurut Mohammad Zariff, motosikal tidak akan stabil jika menggunakan lengan ayun yang panjang kerana fokus penggunaannya adalah untuk tidak mengangkat tayar depan bagi motosikal lumba.
Selain kemalangan, difahamkan pemilik motosikal yang melakukan ubah suai tidak mengikut spesifikasi boleh dikenakan denda antara RM3,000 hingga RM20,000 jika ditahan pihak berkuasa.
Mereka juga berdepan dengan penyitaan kenderaan dan perlu mengubah semula kenderaan kepada spesifikasi asal untuk pemeriksaan pihak berkuasa bagi mendapat kelulusan semula berada di atas jalan raya.














