RAMADAN al-mubarak telah membuka tirainya.
Setiap kali tibanya bulan Ramadan bulan yang penuh rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka.
Maka berlumba-lumbalah umat Islam menambah pahala dan mengambil peluang mengisi masa sebaik mungkin dengan mendengar tazkirah, ceramah atau kuliah agama seiring dengan keutamaan bulan ini.
Namun, di bulan ini jugalah, sinonim masyarakat negara ini akan memenuhi bazar Ramadan bagi mencari juadah untuk berbuka selepas seharian menahan lapar dan dahaga.
Di bazar Ramadan, pelbagai juadah dihidangkan dan sudah pastinya kita akan menjadi rambang mata untuk memilih menu apa untuk dijadikan sajian berbuka.
Di saat memilih dan membeli makanan dan minuman tanpa kita sedari telah berbelanja melebihi apa yang diperlukan.
Sampai masanya juadah yang dibeli itu tidak dapat dihabiskan dan dibuang bagitu sahaja, sekali gus menjadi satu pembaziran.
Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Nurazmallail Marni berkata, hakikatnya, pembaziran akan mencacatkan keberkatan bulan Ramadan.
Menurutnya, tidak kiralah sama ada pembaziran itu melibatkan makanan, wang, tenaga, amalan, atau kesihatan dan tubuh badan.
“Apa yang dibazirkan itu sebenarnya mempunyai bahagian untuk orang lain yang boleh disedekah dan dimanfaatkan bagi memperoleh ganjaran pahala.
“Melatih diri agar tidak melakukan pembaziran dan melampaui batas dalam berbelanja adalah satu amalan yang dituntut dalam Islam.
“Justeru, Ramadan merupakan saat terbaik untuk menanam tekad membasmi pembaziran bermula daripada diri sendiri dan keluarga, seterusnya istiqamah untuk bulan-bulan akan datang,” katanya.
Nurazmallail berkata, cara untuk mengelakkan kita daripada berbelanja lebih ketika Ramadan ialah utamakan menyediakan juadah dengan memasak sendiri di rumah.
Katanya, memasak sendiri juadah berbuka puasa atau sahur pastinya dapat mengelakkan kita daripada berbelanja lebih.
Ramai yang memilih untuk ke bazar kerana suasana yang tidak ada seperti bulan-bulan lain.
“Bukan ingin menyekat rezeki orang lain, tetapi jika kehendak diri tidak boleh dikawal, maka kurangkanlah pergi ke bazar.
“Kita sendiri yang mengetahui had dan kemampuan diri.
“Selain itu, dengan memasak di rumah kita dapat meluangkan masa bersama keluarga berbanding keluar bersesak-sesak di luar,” ujarnya.
Bazar Ramadan dan bulan puasa memang tidak boleh dipisahkan, terutamanya bagi orang yang bekerja dan tiada masa untuk memasak.
Oleh itu, pastikan berbelanja dengan berhemat setiap kali mengunjungi bazar Ramadan.
Sebenarnya banyak lagi cara atau tip untuk mengelakkan kita daripada melakukan pembaziran terutamanya di bulan Ramadan.
Sebaiknya kita yang menentukan diri kita sendiri. Tepuk dada tanyalah iman dan diri kita.
















