SHAH ALAM – Peningkatan kos sara hidup tidak membataskan perancangan umat Islam di negara ini untuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada bulan hadapan.
Malah, ada yang sanggup mengeluarkan belanja sehingga RM250 bagi sepasang pakaian raya sekali gus memberikan rezeki buat golongan tukang jahit.
Seorang tukang jahit, Shah Bakhtiar, 38, berkata, dia tidak menang tangan menerima lebih 1,000 tempahan pakaian raya sejak Disember lalu.
Katanya, jumlah tempahan itu dijangka terus meningkat pada bulan ini dengan kerja-kerja menyiap pakaian tersebut dilakukan bersama 20 pekerjanya.
“Tempahan baju raya sama ada baju Melayu dan kurung tetap meriah pada tahun ini. Pelanggan tempah banyak pasang untuk seisi keluarga.
“Kebanyakan tempahan yang diterima adalah jenis pakaian tradisional bagi menyerlahkan identiti kemelayuan seperti baju kurung Johor, baju kurung Kedah dan baju kurung pesak selain kebaya,” katanya ketika ditemui di kedainya di Seksyen 4 di sini baru-baru ini.
Shah yang sudah lebih 10 tahun bergelar tukang jahit memberitahu, warna biru muda menjadi pilihan kebanyakan pelanggannya pada Aidilfitri tahun ini berbanding merah bata seperti diramal sesetengah
pihak sebelum ini.
“Saya tidak tahu mengapa warna biru muda menjadi pilihan pelanggan, namun saya bersyukur kerana masih menerima tempahan meskipun kos sara hidup naik saban tahun,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi tukang jahit, Anisah Shukri, 35, memaklumkan dia menerima jumlah tempahan yang banyak untuk sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
Menurutnya, warna kuning langsat menjadi pilihan utama bagi kebanyakan pelanggannya.
Walaupun turut berdepan saingan jualan baju raya di platform perniagaan online yang dikatakan jauh lebih murah, namun Anisah bersyukur ramai yang memilih khidmat tukang jahit sepertinya.
“Kebanyakan pelanggan saya memilih untuk tempah dengan tukang jahit kerana mahu mendapatkan ukuran yang tepat.
“Mungkin warna kuning langsat akan menyerlahkan warna kulit mereka, di samping akan menampakkan mereka lebih muda.
“Saya bersyukur tempahan tidak putus-putus setakat ini dan akan berhenti mengambil tempahan pada pertengahan Ramadan,” katanya.














