fbpx

Mencari ‘jalan tikus’ pulang beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Menunggu khabar berita mengenai pembukaan Jajaran Seksyen 11 Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang bakal dibuka menjelang Aidilfitri menjadi antara faktor penyuntik semangat positif untuk menyusun perjalanan balik kampung ke Utara untuk berhari raya.

Jajaran yang melibatkan persimpangan Beruas dan persimpangan Taiping Selatan sepanjang 35.5 kilometer yang dibangunkan oleh syarikat West Coast Expressway Sdn. Bhd. itu akan dapat membantu menjimatkan masa malah memberi alternatif kepada pemandu daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang menyiksakan pada musim perayaan nanti.

Lebih menarik, ia juga dapat mengelak pemandu daripada menggunakan laluan Terowong Menora ke Utara yang terkenal dengan pelbagai kejadian kemalangan mengerikan di situ.

Lebuh raya baharu sepanjang 233 kilometer dari Banting, Selangor itu adalah salah satu solusi yang ada bagi mereka yang mahu pulang berhari raya ke arah Utara selain melalui beberapa jalan negeri dan jalan ‘tikus’ lain yang boleh diteroka bagi menjimatkan masa perjalanan balik ke kampung.

Pastinya ramai yang memiliki pengalaman buruk terperangkap dalam kesesakan jalan raya pada musim cuti hari raya bukan sahaja Aidilfitri atau Aidiladha tetapi juga sambutan perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina, Krismas malah Deepavali dan Taipusam.

Bak kata orang, pantang cuti panjang sikit, lebuh raya kembali sesak, jalan yang mengambil masa hanya dua hingga tiga jam telah bertambah tempoh perjalanan selama berbelas jam.

Bertitik tolak daripada pengalaman tersebut, rakyat Malaysia selalunya mudah lupa dan tidak serik malah mereka akan terus mengharungi situasi tersebut dengan hati yang tenang dan reda malah membuat persiapan komprehensif untuk berdepan dengan suasana tegang dan sukar itu.

Tidak dapat dibayangkan bagi mereka yang memandu kenderaan manual, kenderaan kompak dengan pengisian penumpang yang ramai termasuk bayi, anak
kecil dan warga emas.

Pelbagai perancangan jadual yang diumumkan oleh pihak lebuh raya untuk meminimumkan jumlah kenderaan di jalan raya tetapi ia mungkin dapat mengurangkan sedikit masalah kesesakan tetapi bilangan kenderaan masih banyak sepanjang 24 jam cuti hari raya.

Lebih menggalakkan pertambahan kenderaan di lebuh raya ketika itu apabila kerajaan bakal mengumumkan pembayaran tol percuma pada tarikh-tarikh tertentu yang pastinya akan dimanfaatkan oleh ramai pengguna yang mahu berjimat dalam waktu sukar ini.

Jadi apakah formula terbaik untuk mengelak diri daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya pada musim hari raya tahun ini, sanggupkah kita menghabiskan masa berjam-jam lamanya di jalan raya sedangkan hari yang mulia itu sepatutnya dimanfaat untuk bergembira bersama keluarga tidak
kira di kampung atau di bandar.

Masa cuti yang terhad itu, pastinya amat mencemburui penghuni kota kerana selepas ditolak masa terperangkap dalam kesesakan di lebuh raya, mungkin kita hanya ada masa antara 24 hingga 48 jam sahaja menikmati suasana beraya di kampung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN