fbpx
YUSNITA (kiri) dan ahli keluarga menunjukkan gambar Allahyarham Izatul Azwa Norollah di rumah mereka di Sabak Bernam semalam.

‘Hajat Izatul jual ketupat bulan Ramadan tidak kesampaian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SABAK BERNAM – Luluh hati seorang ibu sebaik dimaklumkan mengenai penemuan mayat anak perempuannya yang dalam keadaan reput selepas lapan hari mangsa dilaporkan hilang ketika keluar menggambil gaji sebagai pekerja sambilan di sebuah ka­tering.

Yusnita Abdullah Yusof, 44, berkata, mayat Allahyarham Izatul Azwa Norollah, 17, ditemui di Kilometer (KM) 54, Jalan Klang-Teluk Intan, Sungai Haji Dorani di sini selepas terlibat dalam kemalangan.

Lebih menyedihkan apabila mayat anak perempuannya itu sudah reput dan dijumpai pula berdekatan dengan motosikal yang ditunggangnya.

Menurut Yusnita, anak kedua daripada enam beradik itu dilihat kali terakhir ketika keluar rumah untuk mengambil wang gaji sebagai pekerja katering separuh masa dan menemui rakannya pada 25 Februari lalu.

“Pada waktu itu, saya berpesan supaya segera pulang, namun dia hanya tersenyum dan beredar menunggang motosikal kakaknya.

“Namun, saya mengesyaki sesuatu kerana dia masih tidak pulang ke rumah pada waktu malam dan keluarga membuat laporan polis mengenai kehila­ngannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebuk Jawa, Sungai Air Tawar di sini semalam.

Jelas Yusnita, dia hanya me­ngetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh seorang anaknya kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin.

“Hati ini remuk apabila terba­yangkan hasrat arwah mahu berniaga rendang pada Ramadan ini bagi menambah pendapatan dan membantu keluarga.

“Arwah juga tidak sempat menyambut hari jadinya pada 10 April depan yang dijangka jatuh pada 1 Syawal iaitu hari pertama umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

KEADAAN motosikal yang ditunggang mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam kelmarin.

Tambah beliau, arwah yang juga pelajar Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah Sungai Air Tawar itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebuk Jawa kelmarin.

“Selain meminati bidang perniagaan, dia sememangnya seorang yang amat ceria dan pemurah.

“Kami sekeluarga pasrah dengan ketentuan ini dan mendoakan arwah berada dalam kalangan para solehah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, mayat remaja itu bersama sebuah motosikal Yamaha Y15ZR ditemukan seorang peniaga yang melalui jalan berkenaan, kira-kira pukul 11.15 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah Sekinchan dipercayai hilang kawalan dan terjunam ke dalam parit.

“Mayatnya dibawa ke Hospital Sabak Bernam bagi bedah siasat dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN