“SAYA sekadar nak kakak tahu rasa jadi anak yang gagal di depan mak ayah. Bukan saya nak buat dia sampai sakit depresi macam sekarang,” luah Mawar (bukan nama sebenar) kepada Panorama.
Enam tahun lalu, kehidupan kakak Mawar, Dahlia (bukan nama sebenar) boleh dikatakan sangat sempurna dan merupakan anak idaman setiap ibu bapa di dunia ini.
Dahlia bukan sahaja berjaya dalam akademik, tetapi dia juga cantik, sopan dan pandai ambil hati orang sekeliling.
Menambahkan lagi kesempurnaan tersebut, Dahlia dilamar dan bakal berkahwin dengan lelaki dari latar belakang yang cukup berprestij.
Kata Mawar, ‘kesempurnaan’ kehidupan kakaknya itu meletakkan diri dia sebagai anak yang gagal dan bermasalah dalam keluarga.
“Dari kecil, saya sering dibandingkan dengan kakak.
“Dari segi akademik sampailah kerjaya sekarang, semua orang asyik kata saya sepatutnya jadi macam kakak.
“Kadang-kadang saya rasa macam beban dalam keluarga ini. Mereka mungkin lebih bahagia sekiranya hanya bertiga,” ujarnya dengan nada geram.
Perasaan dengki Mawar sampai ke kemuncak apabila kakaknya merancang perkahwinan dekat dengan tarikh graduasi sarjana mudanya.
Menurut perspektif Mawar, Dahlia seorang narsisis yang sengaja mahu mencuri tumpuan dan pujian orang ramai.
Lukanya jadi bernanah apabila ibu bapanya menyokong keputusan anak emas mereka tanpa mengambil kira perasaan Mawar.
Oleh itu, Mawar nekad untuk rosakkan hubungan kakak dengan teman lelakinya agar perkahwinan tersebut ditunda atau terbatal.
“Saya habiskan masa berhari-hari menangis memikirkan diri saya tidak penting di mata semua orang dalam keluarga ini.
“Kemudian, saya dapat idea untuk sabotaj perkahwinan kakak agar dia ada satu kegagalan dalam hidupnya.
“Bagi saya, mungkin dengan cara itu, dia faham apa perasaan saya selama ini,” jelasnya.
Demi mencapai hajatnya itu, Mawar merancang situasi bagi menimbulkan syak wasangka antara kakaknya dengan bakal abang iparnya.
Di hadapan keluarga, Mawar menunjukkan bahawa dia gembira dengan perkahwinan Dahlia, manakala di belakang, dia sibuk menghasut bakal abang iparnya secara halus.
Rancangannya membuah hasil apabila kakaknya itu termakan jerat sehingga dituduh berkhalwat bersama seorang lelaki lain.
“Pada mulanya, saya sangat seronok apabila perkahwinannya dibatalkan kerana keluarga lelaki tidak mahu menanggung malu.
“Pertama kali, saya tengok mak ayah saya kecewa dengan kakak. Pertama kali juga saya tengok kakak merayu supaya mereka faham situasinya.
“Pertama kali juga, saya bukanlah anak bermasalah di mata mak ayah,” jelasnya dengan mata yang berkaca-kaca.
Namun siapa sangka, keseronokan itu hanya sementara sahaja kerana Dahlia didiagnosis dengan penyakit depresi beberapa bulan selepas itu.
Terdapat satu ketika, Dahlia perlu dimasukkan ke hospital atas cubaan membunuh diri.
Sejak itu, perhatian ibu dan bapanya terhadap Dahlia menjadi semakin mendalam dan tumpuan mereka adalah pada kesembuhannya.
Sekali lagi, Mawar kalah dengan kakaknya dalam ‘perang’ mendapatkan perhatian ibu bapa mereka.
Jelas Mawar, dia masih enggan memberitahu hal sebenar kepada ibu bapanya kerana khuatir mereka akan membenci dirinya, sudahlah dia sering dilihat anak yang gagal sebelum ini.
“Nasi dah jadi bubur. Saya sekarang tanggung perawatan kakak kerana itu sahaja cara saya tebus kesalahan saya.
“Saya rasa dipinggirkan sepanjang hidup saya, tapi boleh kuatkan diri. Dia sekali je dirundung masalah, terus sakit teruk, ternyata seorang yang manja.
“Sejujurnya, saya tidak tahu sama ada saya rasa bersalah atau tidak. Sebab perasaan saya lebih kepada tawar hati,” ujarnya.















