fbpx
MUHAMMAD FAKHRULLAH (gambar kecil) ditemui lemas di Sungai Ketil, Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil, Baling kelmarin.

Saya lihat dia tenggelam timbul – Rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Kegembiraan 10 sahabat beriadah pada musim cuti sekolah di Sungai Ketil, Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil di sini, berakhir tragedi selepas salah seorang daripada mereka ditemui mati lemas kelmarin.

Mayat Muhammad Fakhrullah Mohamad, 15, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Puteri ditemui tersangkut pada reba pokok kira-kira pukul 10 pagi.

Rakan mangsa, Mohamad Irfan Md. Saad, 13, berkata, dia bersama 10 rakannya terkilan tidak dapat menyelamatkan Muhammad Fakhrullah ketika melihat mangsa tenggelam timbul di permukaan air.

“Selepas puas mandi, kira-kira pukul 5.30 petang, kami ambil keputusan mahu pulang. Saya dan beberapa rakan naik ke tebing sungai dahulu sementara menunggu yang lain.

“Sedang asyik bersembang ­tiba-tiba terdengar orang menjerit mengatakan mangsa dan seorang lagi rakan kami hampir lemas.

“Saya nampak Fakhrullah yang tenggelam timbul di permukaan air dan akhirnya sekelip mata hilang dari pandangan,” katanya.

Menurut Mohamad Irfan, dia segera meminta rakan-rakannya yang berada di tebing sungai turun mencari mangsa sementara dirinya mencari penduduk kampung untuk meminta bantuan.

“Salah seorang rakan yang cuba menyelamatkan mangsa juga hampir lemas, namun mujur sempat diselamatkan kawan-kawan lain serta orang kampung,” ujarnya.

Dalam pada itu, penduduk kampung, Mohamad Naim Zulhairi Hasrul Sahizan, 22, berkata, dia terdengar jeritan meminta tolong sebelum adiknya berlari pulang mengatakan ada orang lemas di sungai.

“Setiba di lokasi, saya terjun untuk membantu mencari ­mangsa, namun tidak berjaya. Bagaimanapun saya dapat membantu menyelamatkan rakan mangsa yang juga hampir lemas,” ujarnya.

Difahamkan, mangsa dan rakan-­rakannya mandi sungai selepas mereka selesai menjalani latihan silat.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah, Awang Hidzel Awang Bujang, berkata, mangsa berjaya dijumpai sekitar pukul 10.15 pagi, kira-kira 20 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN