GAMBAR HIASAN

Negara menua, apa tindakan kita?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEBERAPA hari lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia ada mengeluarkan data mengenai sebanyak 557 daripada 1,065 mukim di negara ini mencapai kategori menua.

Ini bermakna mukim berkenaan telah mempunyai lebih 7 peratus warga tua yang berusia 65 tahun ke atas. Pada masa sama daripada 260 bandar sebanyak 155 juga telah mencapai kategori menua.

Negara menua merujuk kepada penuaan populasi apabila taburan umur penduduk beralih ke umur yang tua, sama ada melebihi 60 tahun atau 65 tahun.

Angka berkenaan jelas menggambarkan unjuran Malaysia mencapai status negara menua menjelang 2030 bakal menjadi kenyataan apabila 15.3 peratus atau kira-kira 5.8 juta daripada jumlah penduduknya dijangka mencapai usia 60 tahun dan ke atas.

Data terkini menunjukkan Monaco menjadi negara tertinggi mempunyai populasi warga emas iaitu 36 peratus diikuti Jepun (29 peratus), Bulgaria (24 peratus) dan Portugal (24 peratus).

Isu mengenai warga tua mengingatkan penulis tentang cerita seorang rakan yang meluahkan kerisauan terhadap keadaan ibunya yang tinggal berseorangan selepas kematian bapa di sebuah felda.

Oleh kerana dia tinggal di ibu negara, adik di selatan tanah air dan kakak telah meninggal dunia menyebabkan tiada lagi sesiapa untuk melihat dan memantau dengan lebih dekat kehidupan seharian wanita berkenaan.

Seperti biasa, orang tua apabila diajak tinggal bersama anak-anak pastinya cuma bertahan dua atau tiga hari dan selepas itu mahu segera pulang ke rumah sendiri.

Kisah seperti ini pada masa sekarang bukan lagi isu terpencil, tetapi bakal menjadi masalah besar jika tidak ditangani dengan persiapan dan perancangan rapi daripada pihak kerajaan dan badan-badan bertanggungjawab.

Selain mempercepatkan satu rang undang-undang khusus mengenai kebajikan warga emas pihak berkenaan juga perlu memperluaskan program bantuan komuniti setempat agar warga emas yang didapati tinggal bersendirian tidak terasing, sentiasa dipantau dan diberikan sokongan fizikal dan mental.

Program bagi meningkatkan kesejahteraan dan harga diri warga emas juga diharap dapat meningkatkan penuaan aktif serta memupuk interaksi yang merentasi hubungan rakan, keluarga, usia, kaum dan agama.

Kita bimbang tanpa persediaan awal nasib sebahagian 6 juta warga emas yang uzur, tidak memiliki rumah sendiri, tiada simpanan kewangan dan sokongan keluarga akan menjadi cerita duka untuk kita tatapi pada masa depan.

Setiap orang daripada kita juga tidak pasti bagaimana nasib dan perjalanan kita sendiri ketika melalui hari tua pada esok hari. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN