fbpx
Gambar hiasan

‘Kos kahwin besar, apatah lagi besarkan anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JABATAN Perangkaan dalam penerbitan Perangkaan Penting, Malaysia 2023 membentangkan kadar kesuburan negara berada pada paras terendah iaitu 1.6 anak pada 2022. Keadaan ini menggambarkan cabaran penyusutan jumlah penduduk dan penuaan di Malaysia.

Ini bermakna setiap perempuan berusia 15 hingga 49 tahun di negara ini secara purata memiliki 1.6 anak berbanding 4.9 pada 1970.

Berdasarkan kaum, kadar kesuburan jumlah (TFR) tertinggi dicatatkan oleh Melayu iaitu 2.1 dan Cina pula terendah hanya 0.8 anak.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, TFR negara berada di bawah paras penggantian, iaitu 2.1 bermula 2013 sehingga kini.

“Trend penurunan kadar kesuburan ini akan mengakibatkan berlakunya krisis demografi seperti penyusutan pertumbuhan penduduk dan kesan ekonomi serta sosial,” katanya.

Data ini menimbulkan pelbagai kebimbangan dan persoalan tentang hala tuju negara. Adakah bilangan pengundi Cina di Malaysia akan kurang lebih 50 peratus? Adakah kita perlu membina rumah baharu kerana perumahan sedia ada pastinya cukup untuk kegunaan generasi akan datang?

Cara kita berdepan isu ini juga perlu diberi perhatian. Dalam penerbitan sama, Jabatan Perangkaan mendedahkan bagaimana negara yang menghadapi penurunan TFR jauh lebih awal seperti United Kingdom (1973: 2.0 anak) dan Perancis (1976: 2.0) menangani isu tersebut.

“Mereka melakukan strategi dengan meningkatkan migrasi untuk meningkatkan bilangan penduduk dan tenaga buruh.

“Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan potensi cabaran ekonomi dan demografi yang berkaitan dengan penurunan kadar kelahiran seperti penuaan penduduk dan kekurangan tenaga kerja,” ujarnya.

Jika Malaysia pilih haluan sama, lebih ramai warga asing perlu dibawa masuk untuk tinggal dan bekerja di sini.

Sama ada sedar atau tidak, pihak berwajib mungkin sudah ambil langkah awal bagi mengatasi cabaran ini, antaranya dengan mengkaji semula skim pencen penjawat awam dalam menangani cabaran kos dengan tempoh jangka hayat yang lebih lama.

Bagi Pensyarah Antropologi & Sosiologi, Universiti Sains Malaysia, Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil, antara sebab kadar kelahiran semakin menurun adalah ramai generasi muda lambat berkahwin dan merancang anak yang boleh dikait dengan kos sara hidup.

“Kos majlis kahwin ‘idaman’ memang besar, apatah lagi untuk besarkan anak,” katanya.

Menurutnya, inisiatif berbentuk one-off tidak dapat membantu menyelesaikan isu ini, sebaliknya insentif seperti pengecualian cukai lebih tinggi untuk ibu bapa boleh membantu golongan tersebut.

“Untuk keperluan tenaga buruh, jika masalah ini tidak diatasi nampaknya kita perlu ambil pekerja asing dan situasi itu sudah berlaku sekarang.

“Di United Kingdom, mereka menggajikan ramai pekerja asing kerana kekurangan tenaga buruh, namun ia lama-kelamaan membuatkan warga tempatan susah hati kerana semakin kurang warga tempatan yang bekerja.

“Ini menyebabkan semakin banyak kes xenophobia dan Islamophobia berlaku di sana.

“Jadi, bagi saya kalau boleh kita elakkan perkara ini terjadi di Malaysia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN