SUASANA gelap, suhu sejuk dan jalan berbukit bukan penghalang kepada 3,000 peserta dari dalam dan luar negara untuk melengkapkan cabaran CAMRUN 2024 di Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini.
Cabaran yang bermula pada pukul 12 tengah malam itu memerlukan peserta berlari dari Jalan Tengkolok melalui beberapa check point sebelum menamatkan larian di Padang Awam Majlis Daerah Cameron Highlands.
Hanya berbekalkan lampu suluh kepala, peserta diberi pilihan untuk menyertai salah satu daripada tiga laluan iaitu 5 kilometer (km), 10km dan 21km.
Bagi kategori 10km dan 21km, penyertaan dibahagikan kepada empat kategori iaitu lelaki terbuka, lelaki veteran, wanita terbuka dan wanita veteran.
Sementara itu, bagi kategori 5km pula, larian adalah dalam kategori fun run iaitu sekadar untuk suka-suka dan terbuka kepada pelbagai peringkat umur.
Menurut pemenang kategori lelaki terbuka 21km, Muhammad Ramzan Jani Mohd. Pittli, 31, cabaran terbesar yang perlu dihadapinya adalah cuaca sejuk yang mencecah 19 darjah Celsius.
“Saya bukan sahaja perlukan stamina untuk kekalkan larian di atas jalan berbukit, malah saya juga perlu pastikan badan saya tahan sejuk.
“Pada lima hingga enam kilometer pertama, rasa sejuk menyelinap sehingga ke otak.
“Kemudian, barulah badan saya mula biasakan diri dengan keadaan cuaca di situ.
“Alhamdulillah, saya berjaya meraih kemenangan ketiga saya dalam acara CAMRUN ini,” jelasnya kepada Horizon.
Tambah lelaki dari Teluk Intan, Perak itu, sorakan orang ramai yang memberi sokongan di tepi jalan menjadikan larian tersebut sangat mengujakan.

Biarpun panorama Cameron Highlands masih lagi tersorok di sebalik kegelapan malam, namun jelas bunyi-bunyi alam menemaninya sehingga tamat larian.
Hasilnya, pekerja pembantu perawatan kesihatan di Hospital Teluk Intan itu berjaya mencatatkan rekod terbaik peribadi dengan catatan masa 1 jam 22 minit 44 saat.
Untuk rekod, CAMRUN 2024 merupakan anjuran Bolt Events Management (Bolt) dan diiktiraf oleh Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) iaitu agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Pada penganjuran kali keempat itu, CAMRUN menerima penyertaan dari pelancong luar termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Yaman dan Jerman.
Menurut data anjuran CAMRUN 2023, perbelanjaan pelancong pada acara tersebut mencecah RM12 juta.
Pada tahun ini, angka tersebut dijangka meningkat kepada RM14 juta bersandarkan kepada peningkatan peserta larian.
Pengarah Media dan Komunikasi Bolt, Azlihana Abdul Rahim berkata, acara itu berlangsung meriah kerana ia turut dihadiri keluarga yang mahu menyaksikan acara berkenaan.
“Sejak kali pertama CAMRUN diadakan pada 2019, terdapat peningkatan yang ketara dari segi jumlah peserta sama ada tempatan atau luar negara.
“Selain sukan, CAMRUN juga boleh dikategorikan sebagai sebuah acara kekeluargaan dan sebahagian usaha mengekalkan kelestarian alam sekitar,” katanya.














