KUALA TERENGGANU – Seorang pengusaha berjaya menarik perhatian pelanggan khususnya pelancong apabila menghasilkan produk unik iaitu keropok lekor gergasi seberat 500 gram.
Ahmad Bukhori Ayob, 38, yang mengusahakan Kori Keropok Lekor Losong berkata, pada musim cuti persekolahan ini, dia menggunakan lebih 500 kilogram isi ikan setiap hari untuk menghasilkan keropok lekor bersaiz gergasi tersebut.
Katanya, saiz keropok lekor yang agak besar itu telah menarik minat pelanggan untuk sama-sama merasainya.
“Biasanya, saiz keropok lekor hanya 100 gram. Saya juga menghasilkan pek keropok lekor gergasi sejuk beku bagi memudahkan pelanggan saya dari luar Terengganu membawa pulang sebagai ole-ole.
“Sambutan diterima amat memberangsangkan terutama daripada pelancong pada musim cuti persekolahan ini,” katanya ketika ditemui di kedainya di Losong di sini semalam.
Ahmad Bukhori berkata, permintaan terhadap keropok lekor gergasi sangat tinggi ketika ini sehinggakan dia dan 12 pekerjanya tidak menang tangan.
Beliau berkata, bahan asas keropok lekor gergasi itu tetap sama iaitu isi ikan selayang, tepung sagu dan bahan perasa.
“Begitupun, keropok lekor gergasi ini perlu direbus lama sehingga setengah jam berbanding 20 minit bagi yang bersaiz biasa.
“Saya menjual sebatang keropok lekor gergasi ini pada harga RM5 sebatang,” katanya.
Ahmad Bukhori berkata, selain pelancong tempatan, keropok lekor gergasi sejuk beku buatannya penah menarik perhatian pelancong asing dari Australia, Jerman dan Britain.














