fbpx
DEMI persaingan dalam industri seni muzik tanah air yang penuh dengan pancaroba, Arish Mikael enggan terus dilabel sebagai klon penyanyi legenda, Sudirman Haji Arshad

Disamakan Sudirman, dilamar M. Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUDA dan segar. Itu istilah yang boleh digambarkan tentang kualiti penyanyi baharu, Arish Mikael yang bersemangat mempertaruhkan karya muziknya dalam industri seni pada usia seawal 21 tahun.

Disebabkan suara seakan-akan penghibur tersohor Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, secara tidak langsung kemunculan Arish mencuri tumpuan ramai.

Rata-rata penonton yang menyaksikan penampilan sulungnya di konsert Temasya Anak Muda pada 6 Januari lalu teruja sebaik penyanyi dia beraksi di pentas.

Biarpun dipuji dan disamakan dengan nama besar dalam industri hiburan, anak jati Muar, Johor itu lebih selesa dikenali dengan identiti sendiri.

“Sejujurnya saya tidak jangka orang akan samakan suara saya dengan Allahyarham Datuk Sudirman kerana bagi saya tidak sama pun.

ARISH sangat mengidolakan penyanyi legenda antarabangsa, Michael Jackson.

Perbandingan

“Pada awalnya, saya juga keliru mengapa orang buat perbandingan apatah lagi nama Sudirman sangat hebat, tapi saya mengambil perkara tersebut dari sudut pandang positif.

“Semoga tanggapan itu akan berubah seterusnya membolehkan saya fokus terhadap karya dengan acuan tersendiri,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Berkongsi mengenai produk muzik, Arish atau nama lengkapnya Arish Mikael Kamalruzaman, 21, baru sahaja melancarkan single berjudul Nukilanmu yang merupakan nashkah sulung selepas bernaung di bawah label Luncai Emas Sdn. Bhd.

Istimewanya, Nukilanmu merupakan single inspirasi daripada Allahyarham Loloq dan Datuk M.Nasir yang dihasilkan sendiri Arish bersama rakan baiknya, Muhammad Radzlan.

Sedari kecil, Arish sudah memasang impian untuk bergelar artis rakaman dan akhirnya, impian itu terlaksana.

Nukilan

“Lagu Nukilanmu sebenarnya sudah dihasilkan ketika saya berada di sekolah menengah sekitar tahun 2018.

“Masa itu belum ada peluang untuk rakamkan secara profesional apabila hanya gunakan telefon bimbit bagi merakam dan kemudian muat naik dalam YouTube.

“Tak sangka pula Luncai Emas perasan video tersebut dan diminta berjumpa Datuk M.Nasir untuk berbincang,” kongsinya.

Biarpun baru setahun jagung, Arish tidak berputus asa mempertaruhkan Nukilanmu selain dalam perancangan merakamkan album perdana kelak.

“Saya tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi untuk lagu pertama tetapi berharap pendengar muzik mendengar karya saya di semua digital platform yang ada.

“Sekarang saya dalam proses menghasilkan lagu kedua yang dijangka menemui peminat selepas Hari Raya Aidilfitri dan kemungkinan kalau ada rezeki, saya akan muncul dengan sebuah album,” jelasnya.

JEJAKA berusia 21 tahun percaya masih banyak ruang perlu diperbaiki jika mahu mengembangkan karier sebagai pemuzik sepenuh masa.

M. Nasir

Berkongsi pengalaman ‘bekerja’ dengan M. Nasir, Arish berkata, figura itu sememangnya tidak banyak bercakap, namun kaya dengan nasihat-nasihat berguna.

“Sewaktu saya berjumpa M.Nasir untuk mendengarkan lagu, dia dengar berulang-ulang kali tanpa cakap apa-apa pun.

“Selepas itu, dia bagi balik telefon saya sambil meninggalkan pesanan untuk hasilkan karya yang bagus kelak,” kongsinya.

Perjumpaan bersama M.Nasir merupakan proses awal rakaman single Nukilanmu yang mengubah jalur kerjayanya sebagai seorang anak seni.

ARISH tidak menyangka rezeki datang bergolek apabila disunting untuk bernaung bawah syarikat Luncai Emas milik maestro muzik, M. Nasir.

Berhenti busking

Sementara itu, Arish berkongsi perihal hidupnya sebelum bergelar artis keramaian. Katanya, dia sering menghiburkan orang ramai sebagai pemuzik jalanan di Johor semasa di bangku sekolah.

Sejak menjadi pemuzik jalanan, dia berjaya membeli gitar pertama yang bernilai RM3,000 untuk memudahkannya menghasilkan lebih banyak karya sendiri.

Namun, selepas bergelar artis, Arish sudah tidak lagi turun padang bersama rakan-rakan untuk ‘busking’ disebabkan alasan tersendiri.

“Sejujurnya, saya sudah lama tidak busking dan mungkin tidak akan menyanyi di jalanan lagi kerana terikat dengan syarat bersama syarikat rakaman.

“Selain itu, saya mahu menjaga keutamaan kepada proses kreativiti menghasilkan karya sendiri kerana semasa busking, saya terpaksa menunaikan permintaan orang menyanyikan lagu artis lain,” ujarnya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN