fbpx
Gambar hiasan

Mampukah bayar bufet Ramadan RM260 seorang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Menjadi kebiasaan, sebulan sebelum tibanya bulan Ramadan, kebanyakan hotel di Lembah Klang tidak kira hotel bertaraf tiga bintang hingga lima bintang, pastinya akan menganjurkan promosi previu bufet berbuka puasa dengan menampilkan pelbagai gimik promosi.

Ada yang sanggup melantik duta bufet dalam kalangan selebriti popular dan ada juga yang menawarkan diskaun sehingga 50 peratus untuk jualan tempahan awal (early bird) bagi menarik minat lebih ramai membuat tempahan.

Tema berbuka puasa berkonsep nusantara, sajian kampung, hidangan ala Arab dan juga menu warisan bakal menampilkan kira-kira 150 ke 200 hidangan daripada pembuka selera hingga kepada pemanis mulut yang ditawarkan pada harga semasa antara RM150 hingga RM260 untuk seorang dewasa adalah perkara utama yang diwar-warkan kepada pelanggan.

Jika dikira secara kasar untuk membayar bufet pada harga RM150 seorang dan pelanggan ini mahu membawa enam ahli keluarga berbuka puasa bersama, maka jumlah bilnya nanti akan mencecah sehingga RM1,000 termasuk cukai.

Jadi bayangkan pula jika harga bufet tersebut adalah RM260 seorang?

Bagi mereka yang kurang berkemampuan, nilai duit sebanyak itu cukup besar untuk menampung perbelanjaan balik ke kampung berhari raya dan mungkin juga boleh digunakan untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak bila sekolah mula dibuka pada bulan Mac ini.

Namun, lain pula bagi peminat bufet Ramadan yang sanggup berbelanja besar berbuka puasa di hotel yang menganggapnya sebagai ‘syurga’ makanan kerana semua juadah kegemaran ada dihidangkan di situ di bawah satu bumbung.

Di negara ini, sememangnya ada pelanggan yang sanggup berbelanja untuk mengumpulkan ahli keluarga dan saudara mara atau rakan untuk berbuka puasa di hotel kerana inilah masa yang ada untuk mereka makan bersama dan beramah mesra.

Mereka sanggup menabung sejak awal lagi untuk membayar kos bufet Ramadan tersebut bagi merealisasikan niat tersebut.

Pemain hotel melihat, semahal manapun mereka tawarkan kos bufet Ramadan, permintaan daripada pasaran sentiasa ada, malah tempahan akan terus meningkat sehingga pada minggu terakhir bulan Ramadan.

Sehubungan itu, bagi kadar bufet semahal RM260 seorang dewasa itu adalah agak munasabah bagi mereka yang mahu berbelanja besar dan berbuka puasa ala VIP kerana di situ dia akan mendapat layanan lima bintang daripada cef dan kakitangan hotel tersebut.

Sehubungan itu, jangan kecam orang yang berbelanja besar di hotel untuk berbuka puasa kerana masing-masing ada niatnya tersendiri termasuk mahu bersedekah dengan menjemput keluarga dan saudara mara. Pastinya, ramai yang begitu bermurah hati untuk berkongsi pahala di bulan yang penuh berkah itu nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN