fbpx
Penternak mengawasi lembu mereka yang dilepaskan di kawasan ladang sawit di RKT Kesedar Chalil, Gua Musang semalam.

Pak belang terkam lembu bunting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Lebih 1,500 penduduk gempar apabila se­ekor lembu betina bunting dijumpai mati dengan keadaan janinnya terkeluar dipercayai dibaham harimau belang di kawasan ladang di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil, di sini minggu lalu.

Kejadian yang berlaku pada malam Jumaat lalu itu adalah penemuan pertama kali bangkai lembu yang diserang harimau belang dalam tempoh lebih 40 tahun penubuhan RKT itu.

Sebelum ini, penduduk mendakwa mereka berdepan dengan kejadian misteri kehilangan kira-kira 20 ekor anak lembu di ladang RKT Kesedar Chalil sejak setahun lalu angkara harimau kumbang.

Penternak, Arif Ismail, 50, berkata, dia dimaklumkan pekerja ladang mengenai pene­muan bangkai lembu itu pada malam Jumaat minggu lalu.

Katanya, ketika sampai di lokasi, lembu itu sudah mati dengan janinnya sudah terkeluar dari perut ternakan tersebut.

“Saya datang ke lokasi kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi keesokan harinya dan lihat lembu seberat 90 kilogram itu sudah diseret sejauh 80 meter dari tempat diserang,” katanya semalam.

Ketua Peneroka RKT Chalil, Suhaimi Che Hamid, 53, berkata, penduduk kini bimbang dengan keselamatan mereka dan berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, laporan telah dibuat kepada Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Ada penduduk terserempak dengan dua ekor harimau belang di tepi jalan ketika dalam perjalanan keluar dari RKT Ke­sedar Chalil kira-kira pukul 10 malam kelmarin.

“Penduduk kini mengambil langkah berjaga-jaga selepas ada yang melihat kesan tapak kaki harimau berhampiran rumah dan terserempak pak be­lang itu di kawasan pondok pe­ngawal keselamatan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkenaan masalah itu.

Katanya, beliau berharap tambahan anggota dapat dilakukan Perhilitan bagi menangani konflik haiwan liar yang semakin meruncing di daerah ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN