SETIAP kali tibanya sambutan Tahun Baharu Cina, Daniel akan ‘terbang’ bercuti di luar negara dan agenda sebegitu telah menjadi amalan raya keluarganya sejak berusia 10 tahun lagi.
SAMBUTAN Tahun Baharu Cina lazimnya dirai dengan acara makan besar sebagai simbolik ‘ong’, menurut kepercayaan masyarakat Tionghua.
Ketika acara tradisi itulah, seluruh anggota keluarga dan saudara-mara yang jarang berkumpul, akan menikmati momen indah bersama, sekali gus mewujudkan suasana meriah ketika malam sambutan perayaan.
Kendatipun, berbeza dengan cara yang diraikan pelakon yang semakin meningkat naik, Daniel Fong.
Setiap tahun, Daniel, 30, bersama ibu bapanya akan terbang ke luar negara dan menikmati percutian bersama.

Sambutan berbeza
Katanya, melancong ke luar negara ketika Tahun Baharu Cina itu telah pun menjadi tradisi keluarga sejak dia berusia 10 tahun lagi.
Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini, Daniel dan keluarganya akan menyambut perayaan di bumi Taiwan dan menghabiskan masa sekurang-kurangnya selama lima hari di negara pulau tersebut.
Daniel yang ditemu bual HibGlam semasa sesi fotografi istimewa bersempena edisi Tahun Baharu Cina berkata, walaupun ‘terpesong’ dengan kelaziman dalam budaya masyarakat, namun dia punya alasan tersendiri merayakan sambutan hari istimewa tersebut di luar negara.
“Hanya ketika Tahun Baharu Cina sahaja, bapa saya ada masa untuk bercuti. Selebihnya, dia sentiasa sibuk menguruskan perniagaan.
“Jadi, sejak saya berusia 10 tahun lagi, kami sekeluarga akan menyambut hari istimewa ini dengan pergi melancong ke luar negara, sekurang-kurangnya selama lima hari. Jadi tahun ini kami akan ke Taiwan,” ujarnya.
Kata pelakon Legenda Puteri Kasih itu lagi, hanya selepas raya kelima, dia dan keluarga akan pulang ke tanah air dan meraikan sambutan perayaan bersama saudara-mara dan rakan-rakan.
“Jadi, keluarga saya tidak ada tradisi makan besar, sebab selalunya kami akan ‘terbang’ pada malam Tahun Baharu Cina.
“Selepas lima hari baru kami akan pulang dan meraikannya bersama saudara-mara,” katanya.
Mendengar cara Daniel meraikan Tahun Baharu Cina, mungkin ramai yang beranggapan pelakon yang mula terjun dalam industri lakonan sejak 2018 itu hidup bersimbahkan kemewahan dan kekayaan.
Namun realitinya, Daniel yang juga merupakan seorang anak tunggal, sebenarnya lahir dan membesar dalam keluarga yang hidup dalam serba kekurangan.

Tatarias: NANA.CHAHH (@nana.chahh)
Busana: (7thheaven.kua & outwellofficial)
Pernah dihalau
Mengimbas semula memori ketika zaman kecilnya, Daniel sekeluarga pernah melalui detik sukar apabila dihalau dari rumah gara-gara tidak mampu untuk membayar sewa kediaman mereka.
“Boleh dikatakan, kami sekeluarga hidup dalam serba kekurangan. Bapa saya pernah mengusahakan restoran, tetapi gagal.
“Kejadian dihalau keluar dari rumah itu berlaku ketika saya berusia enam tahun, namun saya masih ingat sehingga ke hari ini,” katanya.
Tambah Daniel, nasib baik ketika itu, ibunya mampu membeli sebuah apartmen kecil untuk tujuan pelaburan dan menjadi tempat tinggal mereka sekeluarga selepas dihalau keluar.
“Tapi rumah itu kosong, perabot dan elektrik pun tidak ada ketika itu. Selama seminggu juga, kami tinggal di rumah itu tanpa bekalan elektrik. Memang panas.
“Bila elektrik sudah disambungkan, rumah kami cuma hanya ada sebuah kipas dan ibu bapa saya sanggup tidur dalam keadaan panas kerana kipas diberikan kepada saya untuk digunakan dalam bilik.
“Kemudian, perlahan-lahan kami bina semula kehidupan untuk lebih baik sehinggalah perniagaan bapa saya stabil ketika saya berusia 10 tahun.
“Sejak itu jugalah, setiap kali tiba Tahun Baharu Cina, kami akan melancong ke luar negara untuk bercuti bersama-sama,” kata lelaki kelahiran tahun ayam itu.

Jimat cermat
Meniti usia 30 tahun, Daniel kini sudah punya kerjaya sendiri sebagai model dan juga pelakon. Bahkan, kehidupan keluarganya juga semakin baik.
Namun, kesenangan yang dinikmatinya hari ini, tidak menjadikan Daniel lupa diri dan ‘membelakangkan’ apa yang pernah dilalui sebelum ini.
Bintang Beautiful Love Revenge itu juga kekak prinsip dan amalan berjimat cermat sebagai cara hidupnya.
Bukan kerana kedekut, tetapi kerana dia tidak tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan, lebih-lebih lagi ketika kedua-dua orang tuanya sedang meniti usia senja.
“Saya tetap akan berbelanja seperti membeli pakaian baharu, namun masih berpada-pada.
“Saya tidak pernah membeli barangan berjenama untuk diri sendiri. Kalau ada pun sebab hadiah yang orang beri kepada saya.
“Memang saya agak kedekut dengan diri sendiri. Setiap kali tiba musim perayaan, saya akan berbelanja sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sahaja.
“Memandangkan saya belum berkahwin, keluarga masih beri saya ‘ang pau’. Tapi saya juga tidak melupakan mereka dengan memberi duit raya,” katanya menutup bicara.















