PARA wakil media bergambar kenangan di atas bas HOHO di Avani Sepang Goldcoast Resort, Sepang, Selangor.

Jelajah Sepang menaiki HOHO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG, Selangor memainkan peranan penting sebagai ‘pintu masuk’ negara kepada pelancong-pelancong asing.

Ini kerana, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terletak di dalam daerah berkenaan.

Sayangnya, para pelancong akan terus ke Kuala Lumpur tanpa mengetahui terdapat tarikan tersembunyi di Sepang.

Atas dasar itu, Tourism Selangor memperkenalkan perkhidmatan bas pelancongan dua tingkat Hop-On Hop-Off (HOHO) di kawasan tersebut.

Sasaran utama bagi perkhidmatan tersebut adalah pelancong terutama bagi mereka yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit.

Bagaimanapun, pelancong tempatan juga harus merebut peluang menggunakan perkhidmatan yang hanya ditawar pada Sabtu dan Ahad itu.

Menurut wakil HOHO, Christine ker, pengunjung tempatan boleh menaiki HOHO bermula di stesen MRT Stadium Kajang, stesen MRT Pusat Bandar Cyberjaya atau Dataran Tamarin Square.

“Bagi pelancong asing, mereka boleh menaiki bas ini ketika di KLIA 1 dan 2.

“Untuk pelancong tempatan, mereka disarankan untuk tempah tempat duduk terlebih dahulu sebelum menaiki bas di lokasi-lokasi dinyatakan.

“Ini kerana, bas boleh membawa 40 orang penumpang sahaja dalam satu masa,” katanya kepada Horizon.

Dalam satu sesi pengenalan tarikan di Sepang bersama pihak media, penulis telah dibawa melawat ke beberapa lokasi ‘hotspot’ di Sepang.

Lokasi pertama adalah Lorong Seni di Bandar Baru Salak Tinggi atau lebih dikenali sebagai BBST Walk.

Menariknya pada setiap Sabtu dan Ahad, lorong yang penuh dengan lukisan mural itu akan dibanjiri gerai kraf tangan dan makanan tempatan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, kawasan dipenuhi lebih kurang 40 orang peniaga itu bagaikan mini Pasar Seni di Kuala Lumpur.

Mural di BBST Walk yang bertemakan Litar Antarabangsa Sepang.

Perhentian kedua adalah di HL Dragon Fruit Eco Farm yang terdiri daripada ladang, restoran dan pameran buah naga.

Tempat tersebut pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records bagi struktur berbentuk buah naga terbesar di Malaysia pada 2021.

Pengunjung yang datang ke ladang itu bukan sahaja dapat mempelajari tentang buah tersebut, malah dapat merasa hasil produk buah naga.

Antara makanan wajar dicuba adalah roti dengan asas buah naga dan berintikan kari ayam yang dipanggil ‘Jumbo Dragon Bun’.

Bagi penggemar aktiviti luar berkaitan alam, mereka harus turun di perhentian Jeti Sirip Biru.

Di jeti berkenaan, pengunjung boleh menyewa rumah rakit, bot memancing laut dalam, bot pandu sendiri dan mengalami pengalaman River Cruise.

Pengunjung turut berpeluang memancing di pusat ternakan ikan dalam sangkar mengikut pakej-pakej tertentu.

Selain itu, bas HOHO berhenti di Avani Sepang Goldcoast Resort yang terkenal dengan chalet berbentuk pokok palma. Biarpun tidak bermalam, namun pengunjung masih boleh melakukan aktiviti seni dan sukan yang ditawarkan resort berkenaan.

Sekiranya pengunjung mahu merasai kopi asli hasil tanah Selangor, mereka boleh singgah di kedai Chop Guan Kee di Pekan Sungai Pelek.

Dihiasi dengan dekorasi klasik era 1940-an, kedai tersebut dibuka dalam rumah kayu yang dibina pada zaman darurat.

Lebih menarik, makanannya dihidangkan di dalam congkak bagi mencetuskan nostalgia.

Kongsi Christine, terdapat banyak lagi lokasi yang menjadi lokasi persinggahan HOHO di Sepang.

Antaranya adalah gedung beli-belah IOI City, Farm Fresh Universiti Putra Malaysia, Litar Antarabangsa Sepang, Mitsui Outlet Park, Hotel Sama-Sama dan Universiti Xiamen.

“Terdapat banyak lagi tempat yang boleh dikunjungi pelancong sepanjang laluan HOHO Sepang.

“Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kawasan-kawasan tersebut, orang ramai boleh melawat laman web kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN