ARAU – Seorang ibu tunggal buntu memikirkan cara mencari wang bagi menyara kos rawatan hospital dua anaknya yang sakit dan modal untuk memulakan semula perniagaannya.
Menurut Nurul Noor Azlina Che Nazlan, 37, dia tidak memiliki rumah dan hanya menumpang di kediaman ibu bapanya.
“Saya sebelum ini tinggal dan berniaga char kuetiau di Bagan Datuk, Perak sebelum berpisah dengan suami dan balik menetap bersama ibu ayah di kampung ini.
“Selepas berpindah ke sini, saya belum dapat bekerja kerana menumpukan perhatian untuk menjaga lapan anak berusia antara 2 hingga 17 tahun,” katanya ketika ditemui di Kampung Cikgu Ali, di sini baru-baru ini.
Katanya, dua anaknya, Muhammad Zaim Ahmad Zam Zam, 7, dan Muhammad Zuhud Amsyar Ahmad Zam Zam, 11, menghidap masalah ‘beta talasemia major’ dan perlu menjalani rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar.
Menurutnya, Muhammad Zuhud terpaksa berulang-alik ke HTF sebulan sekali kerana masalah sel darah merah kurang dan selepas menambah darah, terpaksa menjalani rawatan untuk membuang zat besi bagi mengelakkan kerosakan organ.
“Buat masa ini saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM700 sebulan, manakala ayah pula berusia lewat 60-an bekerja sebagai penoreh getah.
“Enam daripada lapan anak telah bersekolah dan wang saku yang diberikan kepada mereka tidak menentu dan kadangkala bawa bekal ke sekolah,” jelasnya.
Katanya, dia juga pernah terlantar akibat masalah kesihatan dari Ogos 2022 hingga Januari 2023 disyaki pembawa sindrom Guillain-Barre (GBS).
“Saya mohon bantuan orang ramai bagi kos ulang-alik anak ke sekolah selain perjalanan ke hospital bagi menjalani rawatan mereka buat sementara waktu.
“Saya juga memerlukan modal untuk kembali memulakan perniagaan bagi menyara kehidupan kami sekeluarga,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun milik anak keduanya, Muhammad Asyraaf Zackwan Ahmad Zam Zam 2-00-5181-00024674-0 (Agro Bank) atau menghubungi Nurul Noor Azlina di talian 013-9778708.
















