PEMANDUAN untuk perjalanan jauh dengan kenderaan elektrik (EV) pasti akan meresahkan bagi penggunaan pertama kali.
Penulis bukanlah kali pertama memandu jauh dengan EV tetapi sebelum ini penulis memandu pada sesi yang telah diaturkan oleh syarikat automotif. Mereka telah menetapkan di mana untuk berhenti bagi mengecas kenderaan berkenaan.
Kebetulan minggu lalu, penulis ada urusan di Ipoh, Perak selama dua hari dan pada masa sama Mercedes Benz Malaysia telah memberi pinjam model EQE 500 4Matic SUV untuk dipandu uji.
Pada mulanya agak ragu-ragu juga di mana hendak cas kenderaan itu, cukup tak untuk sampai atau nanti ia cuma akan melambatkan urusan di sana.
Setelah tambah nilai kredit dalam aplikasi mengecas, penulis memulakan perjalanan dengan EV kenderaan utiliti sukan (SUV) itu dari Seremban ke Ipoh sejauh hampir 300 kilometer (km).
Untuk perjalanan itu, bagi model EQE 500 4Matic SUV sebenarnya tidaklah perlu risau sebab EV ini boleh bergerak lebih 500km dengan pengecasan penuh.
Penulis rancang untuk berhenti di sebuah stesen pengecas di Hentian Simpang Pulai, Perak, namun ketika mahu membuat tempahan sejam sebelum sampai lokasi, tempat mengecas itu telah penuh.
Tanpa menunggu lama, penulis dengan berbaki 30 peratus bateri meneruskan perjalanan ke pengecas Gentari di XPark, Sunway City Ipoh.

Masalah kedua yang penulis hadapi ialah tempat mengecas ini menggunakan aplikasi berbeza. Jadi, penulis perlu memuat turun dan mendaftarnya.
Nasib baik ada seorang pemilik Tesla yang kebetulan sedang mengecas bantu penulis untuk memudahkan proses.
Secara keseluruhan, perjalanan penulis hampir 1,000km (termasuk perjalanan di sekitar Ipoh serta Seremban-Kuala Lumpur untuk pengambilan dan penghantaran kereta) melibatkan tiga kali berhenti untuk pengecasan EV ini.
Sejujurnya penulis kurang rasa ‘range anxiety’ kerana telah merancang lebih awal jarak perjalanan dan lokasi cas.
Kapasiti bateri model ini ialah 90.56kWh dan untuk satu pengecasan penuh membuatkan EQE 500 4Matic SUV mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 552km (WLTP).
Dari segi pemanduan, model baharu Mercedes ini mudah dikendalikan berbanding model EQS SUV yang lebih besar. Ia hadir dengan ciri-ciri pacuan semua roda dan menghasilkan kuasa maksimum 408hp dan tork tertinggi pada 858Nm.

Antara ciri-ciri menarik pada model ini juga seperti suspensi udara Airmatic dengan penyerap hentak ADS+, MBUX Hyperscreen dengan panel meter 12.3 digital, sistem infotainment bersaiz 17.7 inci dan kemasan kayu serta aluminium.
Rekaan pada bahagian luaran pula, menerapkan elemen futuristik seperti model EQE yang lain, lampu utama digital, lampu nyalaan siang, rim bersaiz 21 inci AMG dan pakej AMG Line.
Bagi ciri-ciri keselamatan pula, model ini dilengkapi Driving Assistance Package Plus menerusi Active Distance Assist Distronic, Active Lane Keeping Assist dan Evasive Manoeuvre Support.
Kesimpulannya, penggunaan EV di Malaysia sudah kian meriah dan lebih baik rasanya jika ada satu aplikasi yang boleh digunakan bagi semua lokasi mengecas. Jadi, tidak perlulah pemilik EV memuat turun semua aplikasi.
Selain itu, penulis lihat penambahan tempat mengecas juga perlu terutama di hentian di lebuh raya.
Mengenai model ini pula, sepanjang beberapa hari memandu EQE 500 4Matic SUV ini, penulis dapat rasakan pengalaman pemanduan yang meyakinkan untuk sebuah EV.
Respons kuasa diberikan sudah memang cemerlang, tahap kendalian juga berada pada tahap yang terbaik.















